Skip to main content

UMP, Etiqa bantu 200 anak-anak asnaf terima bantuan kelengkapan sekolah

Pekan, 19 November - Seramai 200 pelajar sekolah rendah dari 11 buah sekolah sekitar Pekan yang terdiri daripada anak-anak golongan berpendapatan rendah (B40) seronok menerima pakaian dan kelengkapan sekolah baharu dalam program Program ‘Back to School 2019’ anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Etiqa Family Takaful Berhad  dan Yayasan UMP di Pekan baru-baru ini.

Hadir menyampaikan sumbangan Dekan Perkhidmatan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UMP,  Prof Madya Dr. Mansor Sulaiman dan  Ketua Pegawai Eksekutif  Etika Takaful Berhad Wilayah Timur, Tengku Saifuddin Tengku Zainal Abidin bertempat di Dewan Serbaguna,UMP Kampus Pekan. Hadir sama Pro Pendaftar, Abd. Rahman Safie dan Pengarah Pusat Jaringan Industri & Masyarakat Jabatan Industri & Masyarakat Jabatan Penyelidikan & Inovasi,  Prof. Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin.

Program ‘Back to School 2019’ merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) UMP dan Etiqa Family Takaful Berhad bagi memberi bantuan kelengkapan persekolahan kepada pelajar yang memerlukan. Penganjuran Program merupakan hasil kerjasama erat antara pihak UMP dan Etiqa  memperkukuhkan lagi jaringan strategik kedua-dua pihak yang telah sedia terbina.

“UMP sentiasa terbuka dan bersedia untuk meneroka ruang dan potensi kolaborasi strategik yang lebih luas dengan pihak Etiqa. Ini termasuk  perkongsian kepakaran saintifik dan teknikal Universiti ini dengan fokus urusan dan teras Etiqa sama ada dalam bidang Akademik atau Corporate Social Innovation (CSI),” ujar Prof Madya Dr. Mansor.

Dalam hubungan ini pelbagai inisiatif libatsama sosial (social engagement) akan terus diatur gerak bagi memastikan  masyarakat umum, khususnya rakyat di Negeri Pahang menerima manfaat daripada kewujudan Universiti ini. Pihak pengurusan Universiti sentiasa menyambut baik sebarang hasrat daripada mana-mana jabatan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan, badan swasta, pertubuhan awam atau individu untuk berkolaborasi dalam pelbagai bentuk demi faedah umum.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif  Etika Takaful Berhad Wilayah Timur, Tengku Saifuddin Tengku Zainal Abidin pula berkata, sumbangan ini merupakan zakat Etiqa yang disumbangkan terus kepada UMP. Pendidikan merupakanan asas yang penting untuk mengubah kehidupan seseorang hingga ke pengajian tinggi  malah penting untuk mencorak kehidupan di masa hadapan. Pihak Etiqa sebelum ini telah menyumbang sebanyak RM130,000 bagi bantuan Zakat Pelajar bagi tahun 2019 dan RM120,000 bagi tahun 2018 ke tabung Yayasan UMP. Bermula tahun 2012, anggaran sumbangan Etiqa kepada UMP dianggarkan RM360,000 melalui pelbagai program yang memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.

Bagi penerima manfaat bantuan yang merupakan pelajar tahun lima dari Sekolah Kebangsaan Ubai, Muhammad Haziq Firdaus Muhammad, 11, berkongsi kegembiraan dengan rakan lain apabila menerima pakaian sekolah dan peralatan sekolah yang baharu dan tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan pada 2 Januari depan.  

Disediakan oleh Nor Salwana Mohd Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri