Skip to main content

UMP naik ke tangga 103 terbaik dunia dalam penarafan UI GWUR 2022

PEKAN, 12 Disember 2022- Universiti Malaysia Pahang (UMP) berada pada kedudukan 103 berbanding 128 pada tahun 2021 dalam penarafan UI Greenmetric World University Rankings (GWUR) 2022. 
 
Penilaian dibuat berdasarkan kepada menilai usaha kelestarian alam sekitar yang membabitkan enam skop utama iaitu infrastruktur, tenaga dan perubahan cuaca, sisa buangan, air, pengangkutan dan pendidikan yang memperlihatkan UMP mencapai markah secara keseluruhannya kepada 8,200 berbanding 7,650 pada tahun 2021.
 
Ini sekali gus meletakkan UMP pada kedudukan kelima terbaik di Malaysia dan pertama dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN). 

Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mendahului universiti terbaik di Malaysia apabila berada di tempat ke-25 terbaik dunia. 

Turut berada di  kedudukan  lima  teratas  di Malaysia  adalah  Universiti  Malaya (UM) (50), Universiti Malaysia Sabah (UMS) (53) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) (91) terbaik dunia.
 
Keputusan penarafan ini telah diumumkan di Universitas Indonesia, Jakarta pada 12 Disember 2022 dalam satu majlis yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini.  
 
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, pencapaian ini adalah komitmen berterusan pihak universiti terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti pengajaran, penyelidikan, kokurikulum dan sistem pengurusan kualiti berteraskan pengurusan alam sekitar yang berkesan. Ini dapat dibuktikan apabila UMP berada pada kedudukan ke-35 terbaik dunia melibatkan elemen pendidikan.
 
“Pelbagai inisiatif yang dirancang oleh pihak UMP bagi menyokong aktiviti dapat memelihara sumber dan mempertingkatkan kualiti persekitaran seiring dengan hasrat pihak Lembaga Pengarah UMP dalam mensasarkan pendekatan kampus lestari serta inisiatif khusus yang dirancang bagi menghasilkan sebuah ekosistem hijau yang kondusif.
 
“Turut diberi perhatian elemen pelaksanaan kampus hijau, program pelepasan gas rumah hijau, nisbah jejak karbon ke atas jumlah warga kampus, nisbah penggunaan elektrik ke atas jumlah warga kampus, bajet universiti untuk usaha kemapanan, kawasan kampus yang diliputi hutan, program kitar semula dan lain-lain lagi.

“Penubuhan Jawatankuasa Kelestarian Kampus Universiti menumpukan usaha merealisasikan hasrat menjadikan UMP kampus lestari dengan mempromosikan amalan lestari serta mesra alam dalam universiti yang merupakan sinergi antara amalan mesra alam dan pendidikan,” katanya

Konsep ini juga katanya akan membuka peluang kepada warga kampus bagi memupuk budaya persekitaran lestari seiring dengan keperluan era Revolusi Industri 4.0.

UMP juga bakal melaksanakan transformasi digital ke arah kampus pintar untuk kekal relevan dengan keperluan dan jangkaan semasa pihak berkepentingan berdasarkan sumber dan kepakaran yang ada dalam bidang Data Raya (Big Data), Internet untuk Segala (Internet of Things (IOT), Kampus Hijau (green campus) dan digitization.  

Universiti menyaasarkan pendekatan kampus lestari dengan melaksanakan pelbagai inisiatif khusus bagi menghasilkan sebuah ekosistem hijau yang kondusif seiring hasrat negara ke arah Malaysia Lestari 2030 dan negara neutral karbon menjelang tahun 2050.

Untuk maklumat lanjut, laporan pencapaian UI GreenMetric World University University Ranking layari: http://greenmetric.ui.ac.id

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit