Skip to main content

UMP rai pencapaian graduan siswazah

KUANTAN, 12 Januari 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) meraikan pencapaian para graduan siswazahnya bagi tahun 2022 dalam Majlis Ramah Mesra Alumni Pascasiswazah anjuran Institut Pengajian Siswazah (IPS). 

Majlis dirasmikan Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim dalam program yang berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur Kuantan. 

Menurut Profesor Datin Mimi Sakinah, pihaknya  berbangga dengan pencapaian UMP dalam pengajian siswazah yang melibatkan seramai 251 orang sepanjang tahun 2022.

UMP rai pencapaian graduan siswazah

“Jumlah ini meliputi graduan Doktor Falsafah seramai 66 orang, Sarjana Sains (Penyelidikan) seramai 107 orang, Sarjana Kerja Kursus seramai 73 orang pelajar dan Sarjana Mod Campuran seramai lima orang pelajar.

“Walaupun jumlah ini kecil, ia tetap perlu disyukuri bersama memandangkan tahun 2022 merupakan tahun yang mencabar setelah Malaysia keluar dari pandemik COVID- 19.
 
“Justeru, saya berharap pertemuan bersama Alumni Siswazah UMP ini juga adalah untuk memastikan bahawa jalinan hubungan dan kerjasama di antara UMP serta alumni tidak terputus apabila seseorang pelajar telah bergelar graduan,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, selain itu, jalinan hubungan baik ini perlu diteruskan agar ia dapat melahirkan manfaat yang boleh dilaksanakan di antara UMP dan alumni. 

UMP rai pencapaian graduan siswazah

“Alumni UMP di seluruh Malaysia dan di luar negara adalah merupakan ‘duta kecil’ dan merupakan wakil UMP kepada masyarakat di luar sana.
 
“Oleh itu, saya mengharapkan agar alumni UMP akan terus menghulurkan sumbangan dan bakti kepada UMP dalam apa juga bidang serta bentuk sumbangan yang dapat membantu memajukan dan seterusnya melonjakkan jenama UMP ke persada nasional dan antarabangsa. 

“Ribuan terima kasih juga kepada kepada pihak fakulti dan pusat tanggungjawab akademik yang berkaitan atas bantuan, komitmen serta usaha yang berterusan bagi memacu kecemerlangan akademik Siswazah di UMP,” katanya. 
 
Turut berlangsung taklimat penarafan yang disampaikan Timbalan Pengarah (Penarafan) Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti , Profesor Madya. Ts. Dr. Hermadina Setiabudi. 

Beliau turut menasihatkan alumni agar dapat mengambil bahagian dalam aktiviti penarafan (Ranking) yang dapat menyumbang terhadap pencapaian kecemerlangan universiti. 

Turut sama berkongsi maklumat dalam majlis itu ialah graduan Sarjana Sains, Juliza Mohamad Arif yang sedang berkhidmat sebagai Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi di Kolej Komuniti Paya Besar dan graduan Doktor Falsafah, Dr. Kamarulzaman Mahmad Khairai yang sedang berkhidmat sebagai Penolong Pengurus, Kejuruteraan Industri di TT Electronics, Kuantan. 

Kedua-duanya berpeluang berkongsi pengalaman mereka mengikuti pengajian dari awal hingga berjaya bergelar graduan siswazah di UMP. 

Disediakan oleh: Kalpana Ramachandran, Institut Pengajian Siswazah

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News