Skip to main content

UMP sumbang 100 buku Mandarin buat pelajar sekolah

MARANG, 30 Mei 2023 - Institut Confucius (CI) Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyumbangkan 100 buku, video dan kamus Mandarin kepada Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Marang dalam usaha membantu pelajar sekolah ini menguasai bahasa Mandarin. 

Buku yang disumbangkan meliputi bahasa Mandarin, soalan ujian kemahiran cina tahun lalu, kebudayaan, kesusasteraan dan pelancongan Cina. 

Buku-buku itu juga merangkumi beberapa pencapaian sains dan teknologi terkini di China. 

Serahan buku disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman kepada Timbalan Pengarah (Operasi), Yayasan Terengganu, Haji Megat Samsudin Megat Yusof dan Haji Wan Mohd Azman Wan Abdullah, Guru Besar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Marang. 

UMP sumbang 100 buku Mandarin buat pelajar sekolah

Turut sama menyaksikan program, Kaunselor Pendidikan Kedutaan China di Malaysia, Zhao Changtao dan Attaché Kedutaan China di Malaysia, Zhang Tian serta Pengarah Confucius Institute (Malaysia) Yong Ying Mei dan Pengarah Confucius Institute (China), Profesor Madya Dr. Wang Haiyan.

Menurut Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad, pihaknya berharap video dan kamus buku ini dapat membantu pelajar dan guru di sini untuk mendapat pemahaman yang lebih menyeluruh dan mendalam tentang bahasa Mandarin. 

“UMP mempunyai program kerjasama dengan Beijing Jiaotong University (BJTU) China dalam program Ijazah Dual Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam bidang kejuruteraan yang menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara ini. 

“Selain itu, UMP turut terbabit kerjasama lain dengan universiti di China termasuk program ijazah dual dengan Universiti Tianjin (TJU) serta program kerjasama dengan Universiti Ningxia (NXU),” katanya. 

Ujar beliau lagi, sumbangan buku ini bakal memberi manfaat buat pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Marang yang merupakan salah sebuah sekolah yang mempunyai pelajar yang mengikuti mata pelajaran bahasa Mandarin dari Tingkatan 1 hingga  4 mengikut sukatan pelajaran Ujian Penguasaan Bahasa Cina. 

Lain-lain Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Kuala Berang, Dungun dan Kemaman. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit