Skip to main content

UMP terima RM 63,650 bagi geran kajian Sistem Pendidikan Sekolah Pondok Negeri Pahang

KUANTAN, 12 Oktober 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima Geran Kajian Inisiatif Pemerkasaan dan Pengiktirafan Sistem Pendidikan Sekolah Pondok Negeri Pahang berjumlah RM63,650 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). 

Serahan disampaikan Timbalan Yang di-Pertua MUIP, YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah kepada Pengarah Kanan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi UMP, Profesor Dr. Mohd Hasbi Abdul Rahim yang hadir mewakili Naib Canselor UMP. 

UMP terima RM 63,650 bagi geran kajian Sistem Pendidikan Sekolah Pondok Negeri Pahang

Turut sama dalam program Mufti Kerajaan Negeri Pahang, Sahibus Samahah Dato' Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Ahmad Hairi Haji Husain, ahli MUIP, Profesor Madya Dr. Hasan Ahmad merangkap Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) dan Dekan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr.  Mohamad Hilmi Mat Said. 

YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir bertitah, Multaqa merupakan platform pertemuan antara alim ulama dari Ma’ahad Tahfiz, madrasah dan pondok di Pahang bagi merapatkan hubungan silaturahim dan bertukar fikiran. 

UMP terima RM 63,650 bagi geran kajian Sistem Pendidikan Sekolah Pondok Negeri Pahang

Pihaknya berhasrat menubuhkan institut ilmu yang merupakan sebuah Pusat Islam yang mempunyai kaitan dengan agama Islam melalui perkhidmatan dan penyediaan latihan dalam usaha membantu memperkuat badan-badan agama serta meningkatkan kualiti kemahiran guru-guru di madrasah atau pondok. 

Sementara itu, menurut Profesor Dr. Mohd Hasbi, program ini merupakan satu daripada agenda untuk mengemask ini data pusat-pusat pengajian tersebut di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta. 

“Data tersebut merupakan maklumat yang akan digunakan dalam kajian inisiatif untuk memperkasakan dan mengiktiraf Sistem Pendidikan Sekolah Pondok Negeri Pahang,” katanya. 

UMP terima RM 63,650 bagi geran kajian Sistem Pendidikan Sekolah Pondok Negeri Pahang

Penganjuran Multaqa Pengerusi dan Pengetua Ma'ahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Negeri Pahang adalah hasil kerjasama UMP dan MUIP yang diadakan di Hotel Grand Darul Makmur baru-baru ini. 

Turut berlangsung pembentangan  kertas kerja oleh Al Fadhil Ustaz Barakatullah Bahari, Dr. Abdul Kamil Jamaludin dan Dr. Asmadi Abd Rahman. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit