Skip to main content

UMPA tawar program galak warga industri sambung pengajian

KUANTAN, 4 Julai 2021 - Mendasari Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025, UMP Advanced Education (UMP Advanced) mengorak langkah dalam membudaya dan meluaskan inisiatif pendidikan bukan sahaja kepada golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau diploma malahan juga kepada golongan bekerja melalui pembelajaran secara fleksibel.

UMP Advanced mula memperkenalkan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) sejak tahun 2008 dan kini mempunyai lebih 5,300 orang graduan yang telah menamatkan pengajian dalam program diploma profesional, bacelor eksekutif dan master eksekutif.

Menurut Pengurus Besar, Jabatan Pengurusan Profesional dan Pendidikan Fleksibel, UMP Advanced, Haji Amirul Ahmad, PSH merupakan proses pendidikan yang disusun secara fleksibel bagi memberi peluang untuk mengembangkan ilmu, pengetahuan, kemahiran, kompetensi serta meningkatkan potensi diri secara sukarela mahupun motivasi diri.

“PSH juga dilaksanakan melalui satu proses yang jelas berkaitan tahap pembelajaran, hasil pembelajaran dan sistem kredit yang dijamin kualitinya oleh Senat UMP.

“PSH UMP turut direka khusus buat warga industri dan ia merupakan laluan alternatif bagi membolehkan mereka menyambung pengajian di hujung minggu sekali gus dapat meningkatkan sosioekonomi,” katanya dalam Webinar Pembelajaran Sepanjang Hayat bertajuk ‘Berjaya dalam Kerjaya’.

Ketua Pegawai Eksekutif Dreams Street Restoration Sdn. Bhd. yang juga mantan Ketua Learning Solutions & Development, Petronas Dagangan Putra, Suriya Sankaran berkata, beliau memulakan pekerjaan tanpa kelulusan yang tinggi dan hanya bergantung kepada pengalaman kerja.

“Graduan muda yang baru menamatkan pengajian dan mempunyai pengalaman belajar di universiti dilihat mempunyai pemikiran yang tersusun.

“Oleh itu, pembelajaran ini sangat penting bukan sahaja sewaktu muda malahan sewaktu berusia juga,” ujarnya.

Manakala Eksekutif Jurutera Vtech Communications Malaysia Sdn. Bhd. yang juga merupakan penerima Anugerah Profesional Pembelajaran Sepanjang Hayat 2019, Lim Poh Ann berkata, menyambung pelajaran selepas 30 tahun merupakan cabaran terbesar buatnya terutamanya dalam membahagikan masa di antara kerja, pelajaran, keluarga dan khidmat masyarakat.

“Pada masa kini, dunia industri kian berkembang pesat dan pekerja perlu mengikuti perkembangan industri yang begitu pantas.

“Oleh itu, kita perlu menguasai dan meningkatkan kemahiran diri serta ilmu pengetahuan supaya dapat memperoleh peluang kerjaya yang lebih baik,” katanya.

Lim Poh Ann juga turut merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat master eksekutif di UMP Advanced.

Beliau amat berminat dengan program Recognition Prior Experiential Learning (RPEL) C bagi tujuan pemindahan kredit daripada pengalaman kerja terdahulu.

“Memandangkan saya telah mempunyai 33 tahun pengalaman kerja dalam bidang yang saya ceburi maka laluan kemasukan ke program PSH UMP dengan menguna pakai RPEL (C) ini akan bermanfaat buat saya,” tambahnya.

Selari dengan inovasi akademik, UMP Advanced juga turut menawarkan program Recognition Prior Experiential Learning (RPEL) yang terbahagi kepada tiga iaitu RPEL (A) penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman, RPEL (B) proses penilaian pembelajaran secara formal dan tidak formal dan CPD (C) pengumpulan dan pengesahan semua aktiviti yang diikuti secara formal dan tidak formal.

Antara program lain yang ditawarkan ialah program perdana, profesional/ eksekutif/ kompetensi, sosioekonomi, pendigitalan dan produk baharu.

Program yang dijalankan melalui aplikasi Zoom itu dikendalikan oleh Eksekutif, Jabatan Pengurusan Profesional dan Pembangunan Fleksibel, UMP Advanced, Farzni Mohamad yang disiarkan secara dalam talian melalui Facebook UMP Advanced.

Ia bertujuan memberi pendedahan mengenai program RPEL di samping memberi motivasi untuk menyambung pengajian di UMP Advanced terutama buat mereka yang telah bekerja.

Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim