Skip to main content

UMPSA hargai dan kenang jasa pesara

PEKAN, 18 Disember 2023 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin hadir menyampaikan sijil penghargaan dan persaraan kepada Pengurus Kanan, Bahagian Khidmat Pengurusan, Hajah Sabarehan Haji  Ismail.

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan dan persaraan kepada pasangan Allahyarham Mustafa Kamal Daud, iaitu Siti Murzalina Sh Murad. 

Allahyarham Mustafa Kamal Daud telah kembali pada rahmatullah pada 3 September 2023. 

Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie mengucapkan terima kasih atas sumbangan staf sepanjang berkhidmat di universiti. 

“Sudah pastinya ia akan menjadi titik tolak dan harapan kepada rakan-rakan kita untuk menjadikan model yang mana sikap yang wajar dicontohi dan terapkan pada diri seseorang staf. 

“Malahan, segala sumbangan dan sokongan mereka dalam mengharumkan nama UMPSA serta segala budi dan keringat mereka sudah pastinya akan disanjung dan dikenang sampai bila-bila,” ujarnya. 

Beliau menzahirkan penghargaan, pengiktirafan dan ucapan terima kasih kepada semua pesara kerana telah banyak menabur jasa, bakti serta keringat sepanjang tempoh perkhidmatan dengan universiti. 

Dengan kemahiran, kepakaran dan pengalaman yang diperoleh semasa berkhidmat dalam universiti, mereka ini boleh dijadikan modal untuk terus aktif dalam menyumbang bakti di lapangan terutamanya kepada masyarakat. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Ketua Pegawai Operasi/Pendaftar UMPSA, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan Pengurus Kanan Jabatan Pendaftar, Haji Abdul Shukur Ishak.

Sementara itu Hajah Sabarehan berkata, beliau bersyukur diberikan kesihatan yang baik sehingga bersara dan dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. 

“Terima kasih kepada pihak pengurusan dan seluruh warga UMPSA sepanjang perkhidmatan selama hampir 20 tahun ini. 

“Dalam tempoh tersebut saya telah berkhidmat di Unit Perkhidmatan, Unit Latihan dan Bahagian Khidmat Pengurusan pastinya banyak menyimpan kenangan manis dan pahit. 

“Namun, kenangan itu akan menjadi memori indah sepanjang berkhidmat,” katanya yang telah berkhidmat selama 19 tahun di UMPSA. 

UMPSA hargai dan kenang jasa pesara

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris