Skip to main content

UMPSA rai 144 staf cemerlang dan penerima anugerah Hari Kualiti dan Inovasi

GAMBANG, 24 April 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meraikan seramai 144 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan penerima anugerah sempena Hari Kualiti dan Inovasi UMPSA yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.

Majlis ini mengiktiraf warga UMPSA yang telah mencapai kejayaan terbilang dalam bidang penerbitan, penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan serta menghargai sumbangan cemerlang yang diberikan oleh staf serta menjadi contoh kepada staf lain bagi menanam budaya kerja cemerlang dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sepanjang tahun 2023. 

Dalam majlis ini, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abd Razak Jaafar hadir diiringi Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menyampaikan anugerah kepada para penerima. 

UMPSA rai 144 staf cemerlang dan penerima anugerah Hari Kualiti dan Inovasi

Menurut Dato’ Seri Abd Razak, bertepatan dengan tema sambutan Hari Kualiti dan Inovasi tahun ini, ‘Minda Unggul, Bakat Global’, budaya kerja berkualiti berteraskan inovasi memainkan peranan penting dalam mengasah minda dan membina bakat yang mampu bersaing di pentas global. 

“Tema ini menggariskan visi untuk mencipta sebuah ekosistem kerja yang tidak hanya unggul dalam kualiti, tetapi juga merangkumi bakat yang mempunyai pemikiran global, berdaya saing tinggi, dan mampu membawa transformasi signifikan di dalam dan luar organisasi. 

“Prestasi kerja yang bermutu tinggi dan bertaraf global kini menjadi tuntutan dalam kalangan warga universiti selaras dengan usaha untuk membawa UMPSA ke persada dunia seiring merealisasikan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025,” ujarnya. 

Majlis ini juga menghargai warga kerja dan pusat-pusat tanggungjawab di UMPSA yang berjaya mengaplikasikan prinsip-prinsip kualiti serta inovasi dalam melaksanakan tanggungjawab mereka di samping meraikan usaha mereka dalam memupuk budaya kecemerlangan, inovasi, dan kreativiti.

Antaranya anugerah yang dipertandingkan ialah Anugerah Penulisan Rencana Terbaik, Anugerah Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Anugerah Sukan, Anugerah Personaliti Masyarakat, Anugerah Kecemerlangan Industri dan Masyarakat, Anugerah Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Anugerah Kualiti Naib Canselor dan Anugerah Khas. 

UMPSA rai 144 staf cemerlang dan penerima anugerah Hari Kualiti dan Inovasi

Turut berlangsung Majlis Sambutan Aidilfitri yang diadakan dengan penuh meriah di Dataran Canseleri, UMPSA Kampus Gambang dengan kehadiran lebih 3,000 staf dan pelajar. 

Dalam program ini, Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor turut hadir untuk menyampaikan sumbangan hari raya kepada pelajar-pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan anak yatim.

UMPSA rai 144 staf cemerlang dan penerima anugerah Hari Kualiti dan Inovasi

Turut berlangsung pertandingan gerai terbaik yang menyaksikan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi diumum sebagai johan diikuti Jabatan Bendahari di tempat kedua dan Jabatan Canseleri di tempat ketiga. 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit