Skip to main content

Wacana Serantau UMP hayati nilai Rukun Negara

KUANTAN, 23 Ogos 2022 - Generasi muda yang merupakan masa depan negara perlu memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai Rukun Negara. 

Agenda pembangunan negara bangsa boleh dicapai melalui ideologi keharmonian yang berteraskan semangat patriorisme dan jati diri dalam kalangan individu dan masyarakat.

Dalam pada itu, program pengembangan Wacana Rukun Negara peringkat universiti juga perlu dijadualkan sekurang-kurangnya sekali setiap tahun di semua universiti awam dan swasta dengan melibatkan pengurusan tertinggi. 

Program ini juga perlu dilaporkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 

Demikian merupakan antara dua resolusi daripada lapan resolusi yang dihasilkan sempena Wacana Serantau Rukun Negara dan Pancasila: Ideologi dan Amalan anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) melalui Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Negeri Yogyakarta (UNY) dan Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia.

Wacana Serantau UMP hayati nilai Rukun Negara

Penganjuran wacana itu juga bertepatan dengan sambutan bulan kemerdekaan ketika ini. 

Program ini diharapkan dapat menyubur dan menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan warga UMP dan rakyat Malaysia umumnya. 

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Malaysia dan Indonesia merupakan sebuah negara yang berjiran dan mempunyai rakyat pelbagai kaum, agama, kebudayaan serta mengamalkan cara hidup yang berbeza. 

"Bulan Ogos merupakan bulan kemerdekaan iaitu di Malaysia pada 31 Ogos manakala di Republik Indonesia pula pada 17 Ogos yang lepas. 

“Justeru, wacana ini akan membicara mengenai rukun negara dan pancasila.

“Ini merupakan tanda persaudaraan yang akrab antara kita, antara dua negara jiran dan masa depan nusantara. 

"Oleh itu perpaduan negara adalah merupakan matlamat penting dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan politik,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, tanpa perpaduan, negara akan terdedah kepada pelbagai ancaman dan kelemahan. 

“Ancaman dan kelemahan ini boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas dan berlaku huru-hara rusuhan, pergaduhan kaum dan sebagainya.

"Wacana ini juga merupakan pendekatan yang dilakukan oleh kedua buah negara dalam membentuk perpaduan. 

Perpaduan negara adalah perkara yang dititik beratkan dalam penyusunan setiap strategi pembangunan dan pentadbiran supaya ia mampu mengekal dan mempertahankan kebebasannya sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat,” ujar beliau semasa merasmikan Program Wacana Serantau: Rukun Negara − Pancasila di Hotel Zenith, Kuantan.

Program ini menyaksikan bukan sekadar kerjasama antara tiga buah universiti, tetapi juga dua negara serumpun yang berkongsi persamaan jerih perih perjuangan kemerdekaan serta perjalanan panjang pembangunan negara bangsa yang tercinta. 

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin mengingatkan generasi muda hari ini agar memberi penghayatan terhadap falsafahnya yang sebenar. 

“Keharmonian negara bergantung kepada masyarakat yang tinggi disiplin dan cintakan negara. 

“Di samping itu, penganjuran wacana ini turut membincangkan ikatan serumpun yang wujud antara negara Malaysia dan negara jiran iaitu Indonesia.

“Umum mengetahui Malaysia dan Indonesia berkongsi beberapa persamaan terutamanya dalam aspek bahasa dan budayam” ujarnya.

Namun katanya, adalah amat penting juga untuk kita memahami persamaan idealisme dasar Rukun Negara dan Pancasila yang menjadi tonggak pembentukan kedua-dua buah negara secara khususnya, tentang ideologi dan amalannya.

Wacana menyaksikan Ucaptama disampaikan oleh Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin (UKM) dan Ucaptama kedua oleh Dr. Heri Santoso (UGM). 

Manakala forum pula menampilkan Profesor Dr. Farida Hanum sebagai Moderator dan panel terdiri daripada Profesor Dr. Sivamurugan a/l Pandian (USM), Profesor Madya. Dr. Rukiyati (UNY), Ahmad Fahmi Fazli (UMP) dan Evi Rovikoh Indah Saputri (Universitas Teknologi Yogyakarta). 

Turut sama menjayakan forum, Dr. Mohamad Hilmi Mat Said sebagai Moderator dan lain-lain panel terdiri daripada Profesor Madya Dr. Hasan Ahmad (UMP), Dr. Cepi Safrudin Abdul Jabar (UNY), Mariam Zahiah Tazali (UKM) dan Farozi Ar’rafi (UNY).

Program menyaksikan penyerahan resolusi diserahkan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin kepada Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yusserie Zainuddin. 

Lebih 400 jemputan daripada UMP, UKM, UNY dan IPT di negeri Pahang hadir dalam program itu. 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris