Skip to main content

Ziarah Prihatin UMP santuni pelajar cemerlang SPM raih 9 A

KUANTAN, 11 Jun 2023 - Kehilangan ibu sewaktu menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan penghalang buat Mohamad Abdul Jani Jalani, pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS) Kuantan raih 9 A SPM baru-baru. 
 
Namun kegembiraan ini tidak dapat dikongsikan bersama ibu tersayang, Norhazlin Othman, 53 yang telah kembali ke rahmatullah ketika sedang menjawab peperiksaan SPM pada Februari lalu. 
 
Bagi Mohamad Abdul Jani yang merupakan anak kedua daripada dua orang adik-beradik ini, kejayaan ini hadiah buat ibu dan ayahnya, 

Jalani Jusoh, 55 bekerja mengambil upah bertukang untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga. 

Ziarah Prihatin UMP santuni pelajar cemerlang SPM raih 9 A

Dalam masa yang sama, abangnya, Abdul Rahman Jalani, 22 juga baharu sahaja menamatkan pengajian Diploma Seni Bina di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) Kuantan dan berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana muda.  
 
Cakna terhadap kejayaan keluarga ini, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman hadir menziarahi dan menyantuni keluarga ini di samping menyampaikan sumbangan bantuan barangan keperluan Yayasan UMP. 
 
Menurut Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad, kejayaan cemerlang Mohamad Abdul Jani ini adalah luar biasa kerana beliau telah diuji Allah SWT apabila telah kehilangan ibunya yang tersayang ketika sedang menduduki peperiksaan SPM tetapi dengan kekuatan dirinya beliau berjaya mengharungi peperiksaan tersebut dengan lancar hingga berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang.
 
“Dalam keadaan kehidupan keluarga ini yang serba sederhana juga tidak menghalang pelajar ini untuk berjaya cemerlang dalam SPM. 

“Kejayaan beliau ini boleh menjadi sumber inspirasi kepada kita semua bahawa walaupun menghadapi ujian yang berat dari Allah SWT namun kita harus mengharunginya dengan tabah dan sabar,” ujar beliau yang berkunjung menziarahi keluarga ini di Kg. Sri Damai Kuantan.
 
Selain itu, kunjungan ini juga sebagai meraikan kejayaan pelajar dan berkongsi informasi berkenaan peluang pendidikan tinggi selepas SPM di UMP, kemudahan pembiayaan pendidikan dengan tajaan serta program ijazah dual melibatkan kerjasama institusi luar negara.
 
Turut sama Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik, Zainal Bahari dan Pengurus Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Hazmin Aris. 
 
UMP menawarkan 43 program ijazah sarjana muda dan lapan program diploma. 

Manakala bagi lepasan SPM juga, pihak UMP menawarkan program Asasi Sains dan Teknologi yang membolehkan pelajar mengikuti pengajian ijazah dual program kerjasama dengan Beijing Jiaotong University (BJTU) China membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal ini bakal menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara.
 
Bakal pelajar turut berpeluang memohon untuk mengikuti program kerjasama UMP dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA), Jerman bagi Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan kepujian, Sarjana Muda Kejuruteraan Automotif dengan Kepujian dan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) dengan kepujian. 
 
Manakala program kerjasama UMP dengan Mannheim University of Applied Sciences (HMA), Jerman bagi Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan dengan Kepujian. 
 
Program kerjasama UMP dengan Tianjin University (TJU), China bagi Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian dan program kerjasama UMP dengan Kazakh National Agrarian Research University (KAZNARU), Kazakhstan bagi Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Bioteknologi dengan Industri. 

Tarikh akhir permohonan UPU Online dilanjutkan  sehingga 13 Jun 2023 jam 5.00 petang. 

Layari www.ump.edu.my untuk maklumat lanjut tentang program pengajian.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit