Skip to main content

Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UMP dapat sambutan tawar lebih 1,000 peluang latihan dan pekerjaan

PAYA BESAR, 11 Jun 2023 - Sebanyak 1,000 lebih peluang pekerjaan dan latihan berjaya ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UMP yang telah dianjurkan selama dua hari di Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang baru-baru ini. 

Karnival itu adalah salah satu inisiatif untuk memberikan peluang yang luas kepada pelajar dan graduan UMP untuk memulakan perjalanan mereka ke alam pekerjaan sebenar. 
 
Karnival anjuran Pusat Kerjaya UMP (UMPCC) dengan hasil kolaborasi beberapa pihak itu mendapat sambutan apabila lebih 20 reruai pameran dibuka dengan penglibatan daripada industri serta syarikat, antaranya FGV Holdings Berhad, Perodua, BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd., Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta penyertaan dari anak-anak syarikat UMP iaitu UMP Advanced dan UMP Holdings.
 
Majlis perasmian disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor (Kolaborasi dan Industri Masyarakat), Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin. 

Turut sama hadir dalam majlis tersebut adalah Pengarah UMPCC, Profesor Madya Dr. Izwan Ismail, Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif, Dr. Suhaidah Hussain, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Ts. Dr. Azri Alias, Pengarah Wilayah Pantai Timur Semenanjung Bank Rakyat, Tuan Syed Nasser Husein Syed Othman Ali dan Pengarah Program, Azrool Emir Ashraaf Abdul Rahman.
 
Menurut Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina, UMP sentiasa meningkatkan kolaborasi strategik melalui kerjasama dengan pihak industri dan alumni UMP bagi memperkembangkan bakat sekali gus melahirkan graduan yang lebih berdaya saing dalam cabaran kerja masa kini.
 
“Pengetahuan teori dan akademik semata-mata bukanlah satu jaminan mutlak dalam kebolehpasaran seseorang graduan jika tidak disertakan dengan aspek kompetensi diri yang lebih menjurus kepada kemahiran berkomunikasi, pengurusan organisasi, minda keusahawanan serta disiplin. 
 
“Justeru, UMP sendiri telah mengambil langkah-langkah konstruktif yang relevan bagi menambah baik kualiti mahasiswa UMP berasaskan lapan atribut di bawah kerangka Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA) yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya dalam sesi perasmian.
 
Ujarnya, lapan atribut tersebut merangkumi aspek Pengetahuan, Kemahiran Praktikal, Kemahiran dan Tanggungjawab Sosial, Etika dan Nilai, Komunikasi, Kemahiran Penyelesaian Masalah, Pengurusan Maklumat dan Keusahawanan.
 
Malahan melalui usaha gigih, hingga kini UMP telah mencapai kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 96 peratus yang semestinya membuktikan keberkesanan pendekatan aspek-aspek tersebut.
 
Dalam masa sama, UMP turut menerima sumbangan bagi inisiatif kewangan sosial, UNIprenuer 3.0 berjumlah RM66,000 daripada pihak Bank Rakyat yang bakal memanfaatkan seramai 20 orang pelajar UMP dengan menerima suntikan dana sebanyak RM 3,000 di bawah bimbingan universiti.
 
Sumbangan berbentuk ‘mock cheque’ telah disampaikan oleh Pengarah Wilayah Pantai Timur Semenanjung Bank Rakyat, Tuan Syed Nasser Husein Syed Othman Ali kepada Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina.
 
Pelbagai program juga turut diadakan termasuk ceramah industri, sesi ‘coffee talk’, karnival keusahawanan, ‘Alumni Homecoming’, sesi temu duga oleh pihak industri serta banyak lagi.
 
Disediakan Oleh: Nur   Ainaa   Adhreena  Muhamad    Shukri,   Bahagian    Komunikasi  Korporat. Jabatan Canseleri
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News