Skip to main content
Program Fiesta Antarabangsa UMPSA kongsi budaya pelbagai negara

Program Fiesta Antarabangsa UMPSA kongsi budaya pelbagai negara

GAMBANG, 4 November 2023 – Program Fiesta Antarabangsa anjuran Pusat Hubungan Antarabangsa (PuHA) dengan kerjasama Pusat Bahasa Moden (PBM), Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA) dan Confucius Institut (CI) bersempena sambutan UMPSA ke-21 dan penjenamaan UMPSA baru-baru ini berjaya menghimpunkan lebih 500 pelajar antarabangsa daripada 33 buah negara yang sedang mengikuti pengajian di universiti ini dalam suasana meriah. 

Program itu telah diadakan di Dewan Astaka, UMPSA Kampus Gambang.

Hadir merasmikan program, Penolong Naib Canselor, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim dan Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa, Profesor Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Azhari.

Program Fiesta Antarabangsa UMPSA kongsi budaya pelbagai negara

Menurut Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah, program tahunan ini diadakan khusus untuk pelajar bertemu dan saling berkongsi pengalaman dengan rakan senegara serta warga lain. 

“Program ini mampu menyatukan komuniti antarabangsa dari pelbagai negara untuk berkongsi keunikan budaya masing-masing melalui pameran kebudayaan, penyediaan juadah yang mempunyai cita rasa yang berbeza serta persembahan kebudayaan setiap negara. 

“Penganjuran program ini juga sebagai wadah untuk pelajar antarabangsa memperkenalkan budaya unik negara masing masing. 

“Selain itu ia mampu untuk meningkatkan persefahaman antara mereka, sekali gus mewujudkan komuniti kampus vang harmoni walaupun berbeza bangsa dan agama,” katanya. 

Program ini turut memberi ruang dan pengalaman kepada pelajar untuk terus konsisten bekerjasama dalam pelbagai aktiviti khususnya untuk mempromosikan pengantarabangsaan yang menjadi agenda utama UMPSA.

Malahan, kepelbagaian budaya yang datang dari setiap negara ini dapat mencorakkan lagi landskap kebudayaan dan kesenian di UMPSA. 

Ia sekali gus memupuk sikap persefahaman dan toleransi yang tinggi dalam kalangan pelajar. 

Selain persembahan kebudayaan, beberapa aktiviti juga turut diadakan antaranya adalah Pameran Kebudayaan, Language Corner - Mari belajar Bahasa, Trivia Questionnaire, Fashion Show dan Indoor Games yang melibatkan penyertaan seluruh warga antarabangsa di UMPSA iaitu dari kalangan pelajar dan staf antarabangsa bersama komuniti tempatan UMPSA.

Program Fiesta Antarabangsa UMPSA kongsi budaya pelbagai negara

Antara makanan istimewa antarabangsa termasuklah menu dari negara China iaitu Ladu dan Pankek Cina (Ladu diperbuat daripada ayam dan sayur-sayuran manakala Pankek Cina diperbuat daripada tepung dan telur.

Lain-lain reruai terdiri daripada negara Sudan yang menampilkan menu Jilabia (beras dengan susu dan kacang) dan negara Bangladesh pula menu Morog Polao (Rezala ayam, nasi aromatik dan telur rebus).

Manakala negara Yaman pula menghidangkan Nasi Mendi dengan Ayam, Pakistan (Biryani dan Kheer), Libya (gula-gula diperbuat daripada tepung, telur dan tamar), Indonesia (Jajanan Pasar iaitu pelbagai pencuci mulut Indonesia) dan Denmark (Bubur merah dengan krim dan Apple C) dan banyak lagi. 

Disediakan oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri