Skip to main content

Kesungguhan dan kegigihan rahsia konsisten Muhammad Aslam raih dua kali kecemerlangan

GAMBANG, 21 Oktober 2023 - Kemanisan memperoleh diploma kelas kedua dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.58 tiga tahun lalu menjadi pemangkin semangat kepada Muhammad Aslam Zulkarnain, 23, untuk mengulangi kejayaan itu ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. 

Beliau bagaimanapun tidak menyangka berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal dengan PNGK 3.83, meningkat kepada kelas pertama berbanding sewaktu diploma dan seterusnya berjaya meraih Hadiah Kecemerlangan Sapura Industrial Berhad pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-18.  

Katanya, kejayaan ini memberi pengalaman yang begitu manis dalam hidupnya  sepanjang berada di UMPSA.  

“Rasa bagai tidak percaya apabila dapat mengulangi kejayaan ini. 

“Saya terpaksa mengharungi kesukaran zaman pendemik COVID-19. 

“Kami harus belajar secara dalam talian dan masalah teknikal serta komunikasi menyukarkan saya untuk memahami dan kekal fokus dalam pelajaran. 

“Namun, atas sokongan kedua ibu bapa, saya kembali yakin dan fokus untuk belajar secara konsisten serta bersungguh untuk mencapai Anugerah Dekan setiap semester,” katanya yang merupakan anak kedua daripada tiga orang adik-beradik ini. 

Kesungguhan dan kegigihan rahsia konsisten Muhammad Aslam raih dua kali kecemerlangan

Muhammad Aslam bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah aktif dalam kokorikulum terutamanya di dalam kelab dan pernah menjadi  pengarah program bagi aktiviti dalaman universiti serta menyertai pelbagai aktiviti kesukarelawanan. 

Ujar anak kepada pasangan jurutenik hospital ini, beliau bersyukur kerana sebaik sahaja menamatkan pengajian di UMPSA, beliau telah diterima untuk berkhidmat sebagai jurutera di salah sebuah syarikat automotif yang terkemuka di Rawang, Selangor pada awal bulan lalu. 

“Kelebihan belajar di UMPSA ini adalah kerana persekitarannya yang sangat kondusif dengan keperluan industri.  

“Antara contoh adalah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKMA), makmal Makerslab telah ditubuhkan dan fungsi makmal ini adalah untuk menyediakan peluang kepada pelajar untuk terlibat secara terus dengan pemprosesan sesuatu produk. 

“Sebagai contoh, untuk mencipta sebuah kereta solar, pelajar akan didedahkan dengan proses awal seperti penjanaan idea, lukisan otomotif, uji kaji bahan sehingga ke peringkat prototaip dengan dibantu oleh pensyarah yang berpengalaman,” katanya. 

Disediakan oleh: Shalffarina Shahriman, Penerbit UMPSA 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News