Skip to main content

Nilai unik Kokurikulum UMPSA hasilkan kejayaan buat Siti Nurfazlina

GAMBANG, 21 Oktober 2023 - ‘Sentiasa memandang hidup dengan sikap positif tanpa membandingkan diri dengan orang lain dan sentiasa percaya pada diri sendiri serta kemampuan yang dimiliki’ merupakan prinsip Siti Nurfazlina Abdul Rahim anak kelahiran negeri Perak apabila beliau dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-18.  

Penyumbang terbesar kejayaannya ialah ibunya Noorijan Abu Hassan, 59  merupakan seorang suri rumah.  

Manakala bapanya seorang pemandu teksi Abdul Rahim Mohd Noor, 72. 

Namun, bapanya telah berhenti bekerja sejak dunia dilanda Pandemik COVID-19 atas faktor usia dan juga kesihatan.  

Ahli keluarganya juga memainkan peranan penting kerana tidak pernah jemu dalam memberi sokongan dalam setiap tindakannya dan banyak berkorban semasa beliau berusaha mengejar impian.  

Beliau yang minat menulis dan membaca itu mempunyai sembilan orang adik-beradik, dan beliau merupakan anak kelapan.  

Graduan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) itu  memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif  3.61 dan telah mendapat Anugerah Dekan untuk lima semester daripada tujuh semester.  

Pernah menjawat jawatan sebagai Exco Kerohanian dalam Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 1 (PEKA 1) pada sesi 2021/2022.  

Maha, beliau juga aktif dalam Kejohanan Sukan Antara Fakulti (SUKFAC) terutama dalam sukan petanque pada tahun 2019. 

Semasa di UMPSA, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah  Program Agihan Bubur Lambuk Sumbangan RP1 bersama Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Urus Setia Program Pertandingan Silat 3 Penjuru anjuran Kelab Silat Olahraga UMPSA yang melibatkan tiga universiti sekitar Pahang pada tahun 2019. 

Beliau berpendapat, kampus UMPSA mempunyai kemudahan yang dapat menyokong keperluan pembelajaran dan kehidupan harian pelajar. 

Nilai unik Kokurikulum UMPSA hasilkan kejayaan buat Siti Nurfazlina

“Dari segi pembelajaran di UMPSA, ia merangkumi gabungan kuliah, projek, penyelidikan dan praktikum bagi membolehkan pelajar menimba pengalaman latihan industri yang berharga, 

“Ia juga memenuhi standard pendidikan tinggi dan dapat membantu pelajar mempersiapkan diri untuk dunia pekerjaan. 

“Malah, tenaga pengajar di UMPSA juga sangat baik dan amat berdedikasi dalam mengajar serta mendidik para pelajar,” katanya yang juga aktif menceburkan diri dalam kegiatan kesukarelawanan di luar UMPSA. 

Katanya, UMPSA mempunyai banyak kelab dan organisasi mahasiswa yang menawarkan peluang untuk terlibat dalam aktiviti kokurikulum dan secara tidak lansung dapat meningkatkan pencapaian peribadi pelajar.  

“Nilai unik dalam pendekatan pembelajaran dan kandungan kokurikulum yang memberi kelebihan kepada graduan UMPSA adalah pendekatan pendidikan berasaskan industri. 

“Ini bermakna pelajar mampu peroleh pengalaman langsung dalam dunia pekerjaan dan mengambil bahagian dalam projek yang berkaitan dengan industri sebelum menamatkan pengajian secara tidak langsung memberikan pelajar kemahiran praktikal yang kuat,” ujarnya yang pernah terlibat sebagai Exco dalam pelbagai program anjuran PEKA 1 sepanjang sesi 2021/2022. 

Kejayaan yang terbesarnya di UMPSA adalah ketika artikel penyelidikan projek tahun akhir beliau dan rakan sepasukan, Nur Syareena Nabihah Jamaluddin di bawah bimbingan Dr. Nor Hanuni Ramli@Said telah diterima untuk diterbitkan di Chemical Engineering Transaction Journal dengan tajuk ‘Characteristic and Stability of Chitosan-Based Polymer for Fruit Coating in the Presence of Ginger Essential Oil: Effect of Acetic Acid Concentration’. 

Beliau ingin membina karier dalam bidang yang diceburi iaitu bidang farmaseutikal dan berharap dapat menjadi salah seorang Auditor di National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA).  

Niatnya ingin membalas jasa orang orang yang telah banyak membantu beliau hingga berada di tahap ini dan juga berbakti kepada masyarakat. 

“Tidak lupa juga kepada para pensyarah yang sangat memahami, tinggi budi bicara dan tidak lokek memberi ilmu dan juga buat sahabat-sahabat saya juga banyak membantu dalam menempuh dugaan di universiti ini.  

“Kejayaan ini bukanlah hasil usaha saya seorang sahaja tetapi juga berkat doa dan pengorbanan orang di sekeliling saya,” katanya.  

Beliau telah berjaya lulus temu duga di sebuah syarikat farmaseutikal, Novugen sebagai Associate Executive Quality Assurance dan masih menunggu tarikh untuk memulakan tugas. 

Tugasan beliau antaranya membantu dalam melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) di syarikat dan meneliti dokumen teknikal daripada pembangunan rumusan kerja serta pembangunan analisis. 

Selain itu, beliau juga bertanggungjawab untuk kawalan dokumen termasuk kelulusan, pengedaran, pengambilan semula, pemusnahan dan pengarkiban dokumen, proses audit di dalam syarikat serta memastikan semua proses di dalam syarikat berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan seperti yang digariskan dalam SOP. 

“Skop kerja saya adalah sesuai dan sama dengan hampir semua subjek  yang dipelajari sewaktu di UMPSA dan saya sangat gembira serta bangga kerana dapat mempraktikkan banyak ilmu yang saya peroleh di UMPSA sewaktu bekerja nanti.  

"Saya berpendapat pendidikan adalah pelaburan yang sangat berharga dan amat bersyukur kerana dapat menikmati faedahnya sekarang.  

“Saya berharap pencapaian ini dapat menjadi inspirasi kepada orang lain dan sebagai seorang pelajar mesti berusaha lebih gigih, bermimpi lebih besar, serta tidak takut untuk mengambil risiko dalam mengejar impian mereka” ujarnya bersemangat. 

Disediakan oleh: Hafizatulazlin  Abdul Aziz, Pusat Komunikasi Korporat 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Hafizatulazlin binti Abdul Aziz