Skip to main content

Pernah gagal ke luar negara, kini Nur Khairiyah Penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) bertugas di Jerman

PAYA BESAR, 5 November 2022 - Kegagalan untuk menyambung pengajian di Jerman pada satu ketika dahulu tidak pernah mematahkan semangat Nur Khairiyah Hibatullah Md Rosley, 25 malah telah memberi motivasi diri yang tinggi untuk terus melangkah ke hadapan dan mengejar impian. 

Nur Khairiyah merupakan graduan program kerjasama ijazah dual jurusan Kejuruteraan Mekatronik kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman (HKA).

Dengan kejayaan memperoleh gred 1.3* (yang dianugerahkan oleh Hochschule Karlsruhe - University of Applied Sciences, Karlsruhe, Jerman) dan mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.82 di UMP memberi tuah buatnya apabila dinobatkan penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dalam Majlis Konvokesyen Ke-17 UMP yang disampaikan Pro- Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor pada sesi pertama. 

Pernah gagal ke luar negara, kini Nur Khairiyah Penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) bertugas di Jerman

Penerima Biasiswa Penuh Baden-Württemberg Stipendium pada tahun 2021 itu turut pernah menerima Anugerah Pelajar Terbaik Tahun Pertama (Anugerah Akademik Kecemerlangan) daripada PEKA 5 UMP pada tahun 2018. 
 
Anak kelahiran Papar, Sabah dan merupakan anak bongsu kepada pasangan Md Rosley Mohd Lair, 58 dan Aliah Fatihah Abdullah, 58 ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Cheng, Hwa Papar, seterusnya Papar Middle School Sabah dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Mohammad Fuad Stephens, Sandakan, Sabah. 

Justeru, tidak hairanlah dari segi penguasaan bahasa, beliau mampu bertutur dan menulis dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina, dan Jerman.

Berkongsi pengalaman, beliau berpendapat pendekatan pembelajaran yang dititikberatkan di UMP memberi manfaat kepada para graduan misalnya menerusi program kerjasama dengan universiti-universiti lain di luar negara seperti Jerman, China, Indonesia dan banyak lagi. 

“Tambahan pula, program kerjasama industri hingga ke peringkat global seperti VAC Hanau, Jerman berupaya membuka peluang kepada graduan untuk menjalani latihan amali dan mendapatkan pekerjaan di luar negara. Inisiatif ini meningkatkan kobolehpasaran graduan dan menyebar luas potensi pelajar.
 
“Peluang melanjutkan pengajian di Jerman merupakan kenangan manis yang sangat berharga buat saya. 

“Saya banyak menimba banyak pengalaman menarik daripada pelbagai perspektif,” katanya. 

Lebih bermakna katanya, apabila berjaya menyiapkan tugasan projek tahun akhir selama lima bulan di syarikat ternama Vacuumschmelze GmbH & Co. KG, Jerman. 

Beliau berharap mampu menyumbang nama dan menjadi kebanggaan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya kedua ibu bapa, UMP dan juga Vacuumschmelze (VAC). 

Pernah gagal ke luar negara, kini Nur Khairiyah Penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) bertugas di Jerman

Dalam pada itu, beliau juga ingin memotivasikan mahasiswa lain terutamanya daripada program ijazah dual di UMP agar lebih ramai pelajar berpeluang untuk mendapatkan pengalaman belajar dan hidup di Jerman atau negara-negara lain.
 
Beliau kini bertugas sebagai Jurutera Produk dan Proses dalam Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di Vacuumschmelze (VAC) GmbH & Co. KG, Hanau, Jerman. 

Malahan beliau juga merupakan satu-satunya warganegara Malaysia yang bekerja di syarikat tersebut di Jerman. VAC merupakan sebuah syarikat antarabangsa dan ibu pejabat terletak di Hanau, Jerman. 
 
Bukan sahaja mempunyai kekuatan dalam bidang akademik malah turut mewakili UMP Pekan dalam sukan frisbee pada tahun 2017 hingga 2021, mendapat tempat ketiga Negaraku Vibe Festival (nyanyian) Jerman dan mewakili UMP dalam Mandarin Singing Competition for University and College Students pada tahun 2019 di Kong Zi Institute, UM. 

Beliau turut mengharumkan nama UMP apabila berjaya memperoleh Excellence Award dalam Chinese Bridge Competition yang dipertandingkan di Kong Zi Institute, Universiti Malaya (UM) pada tahun 2018 dan 2019.

 
Disediakan oleh: Rosidah Hassan, Pusat Hal Ehwal Korporat Dan Kualiti (PHKK)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News