Skip to main content

Tersenarai dalam ditamatkan pengajian hingga memperoleh Anugerah Dekan, Abdirahim Ali Hassan bukti keazamaan mampu ubah segalanya

GAMBANG, 21 Oktober 2023 – Tersenarai dalam kalangan pelajar yang mungkin ditamatkan pengajian akibat memperoleh GPA yang rendah ketika semester 1 pengajian, Abdirahim Ali membuktikan dengan keazaman dan tekad yang tinggi segalanya mampu diubah. 

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer dan Rangkaian) yang berasal dari Somaliland (Somalia) itu berkata, perjalanannya dalam pengajian bukanlah perkara yang mudah. 

“Pada tahun pertama, saya bergelut dalam akademik dan hampir ditamatkan daripada program ini.  

“Saya juga memulakan perjalanan universiti saya bersama dua pelajar lain dari negara asal saya. 

“Kami semua teruja untuk berada di universiti dan mengejar impian kami,” katanya.  

Walau bagaimanapun, beliau mula menyedari bahawa kerja kursus adalah lebih mencabar daripada yang dijangkakan.  

“Kami semua bergelut pada semester pertama kami, tetapi rakan-rakan saya akhirnya memutuskan untuk berhenti universiti. 

“Saya juga bergelut, tetapi saya berazam untuk menamatkan pengajian saya.  

“Saya tahu bahawa saya telah pergi terlalu jauh untuk menyerah.  

“Saya mula bekerja lebih keras dan belajar dengan lebih cekap serta  turut meminta bantuan daripada para pensyarah dan rakan-rakan yang lain,” ujarnya. 

Meskipun melalui permulaan yang sukar namun, Abdirahim mampu tersenyum hari ini kerana perjalanannya yang berliku akhirnya membuahkan hasil dengan memperoleh Anugerah Dekan di semester akhir pengajian sekali gus melayakkan beliau untuk turut sama diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-18 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah. 

Tambahnya lagi, permulaan yang buruk tidak selalunya berakhir dengan yang buruk. 

“Saya percaya kemahiran dan ilmu praktikal yang saya terima daripada UMPSA adalah lebih berharga daripada peningkatan CGPA. 

“Saya belajar cara berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan berkomunikasi dengan berkesan.  

“Saya juga mendapat pengalaman secara langsung dalam bidang pengajian saya,” katanya. 

Beliau juga yakin kemahiran dan ilmu yang diperoleh di UMPSA akan membantunya untuk berjaya dalam kerjaya masa hadapan. 

Abdirahman berharap kisah yang dikongsikan dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain bahawa tiada yang mustahil andai kita berusaha sehabis mungkin.  

Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim