Skip to main content

Pemimpin pendapat perlu diberi peranan dalam organisasi

PEKAN, 15 Jun 2021- Peranan yang dimainkan pemimpin pendapat (opinion leader) mempunyai impak yang besar terhadap pembangunan universiti yang boleh disebarkan menggunakan komunikasi secara lisan dan bukan lisan. Secara tidak langsung ia akan dapat merangsang pembangunan universiti dan menggalakkan penyertaan komuniti dalam dan luar universiti melalui peranan pemimpin pendapat ini.

Menurut Abd Hamid Majid yang merupakan mantan Pendaftar Universiti Malaysia Pahang (UMP), pihak universiti perlu sensitif kerana mereka ini akan mempengaruhi organisasi, memberi sokongan dan pandangan tentang apa yang dihasratkan universiti.

“Kadang-kadang terdapat segelintir masyarakat universiti kurang faham tentang apa yang hendak dicapai pada masa hadapan.

“Ini termasuklah hebahan polisi, dasar, isu atau tindakan yang boleh disalurkan semula kepada pihak pengurusan agar suara mereka didengari.

“Pemimpin pendapat ditafsirkan sebagai seseorang yang mempunyai pengaruh secara relatifnya terhadap pemikiran dan tingkah laku sekumpulan pengikut mereka secara tidak langsung,” ujarnya dalam Program Bicara Santai: AKU, KAMU & UMP secara dalam talian anjuran Jabatan Pendaftar baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, seorang pemimpin pendapat juga tidak semestinya mempunyai kedudukan dan fungsi rasmi dalam sesebuah organisasi tetapi lebih terbuka kepada konteks yang lebih luas di luar status formal,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar pihak universiti dapat mengenal pasti pemimpin pendapat yang mempunyai keterlibatan dalam aktiviti berkaitan serta lazimnya berpengetahuan tinggi dan sering peka terhadap perbincangan mengenai topik-topik berkaitan organisasi.

“Konsep pemimpin pendapat ini telah lama menjadi subjek kajian dalam pelbagai bidang, termasuklah komunikasi, pemasaran dan sosiologi.

“Perubahan struktur organisasi misalnya, pihak universiti perlu memberikan penerangan dengan ikhlas kepada warga universiti.

“Sekiranya pimpinan universiti telah sampaikan, beri peluang kepada akar umbi untuk memberi maklum balas,” katanya.

Jelasnya, interaksi ini penting agar apa yang dilakukan mendapat sokongan dan mudah untuk dilaksanakan sekiranya mesej disampaikan dengan jelas.
Menurut beliau lagi, jentera komunikasi seperti di Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti (PHKK) juga perlu berperanan dan diperkasa bagi menyakinkan organisasi tentang apa yang laksanakan sampai ke setiap akar umbi dalam universiti.

Berkongsi pengalaman selama 39 tahun sebagai penjawat awam termasuklah selama 5 tahun di UMP, Abd Hamid berpendapat komunikasi dua hala ini sangat penting.

“Gunakan saluran Majlis Bersama Jabatan (MBJ) untuk berkomunikasi dengan pihak pengurusan, menyuarakan pendapat, pandangan dan menyumbang idea-idea bernas demi keharmonian, kebersamaan, kepentingan dan kecemerlangan organisasi.

“Buat pemimpin muda, saya nasihatkan agar teruslah menimba ilmu pengetahuan, utamakan kepentingan awam dan organisasi serta tidak melanggar etika dan berintegriti.

“Mereka ini akan membentuk jiwa dan pemikiran sebagai pemimpin masa depan yang mempunyai jiwa, cendekiawan dan mempunyai nilai keinsanan yang tinggi.

“Manakala bagi organisasi, pembangunan bakat mempunyai hubungan yang signifikan dengan pelan penggantian yang mantap bagi melahirkan barisan pemimpin untuk kecemerlangan organisasi,” katanya.

Lebih 200 orang staf universiti hadir dalam program selama satu jam ini yang dikendalikan oleh Eksekutif Jabatan Pendaftar, Siti Sakinah Mohtar sebagai moderator.

Program itu diadakan bertujuan berkongsi pengalaman dan cabaran yang dilalui oleh Abd. Hamid Majid sepanjang berkhidmat sebagai seorang penjawat awam terutamanya ketika berkhidmat di UMP serta mengupas beberapa isu berkaitan pentadbiran dan pengurusan daripada mata seorang pentabir yang boleh dijadikan panduan dan pedoman buat warga UMP.

Hadir sama dalam sesi ini ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Hazmin Aris dan Ketua Pustakawan, Azman Abdul Rahim.
Abd Hamid Majid mula bersara daripada perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir (Gred N54) UMP berkuat kuasa pada 15 Jun 2021.

Pihak pengurusan dan seluruh warga UMP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas segala khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit