Skip to main content

Kolaborasi UMP, Sango-Town dan Social Welfare Corporation Lemonkai bangunkan program rehabilitasi dan kepimpinan inklusif

JEPUN, 28 November 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sango-Town dan Social Welfare Corporation Lemonkai Jepun yang bakal menyaksikan kerjasama dalam mewujudkan satu modul yang berfokuskan rehabilitasi dan kepimpinan inklusif.

Ini termasuklah menyantuni orang kurang upaya (OKU) dan warga emas serta ruang kerja berkarya idea ke arah membina komuniti global yang inklusif serta lestari melibatkan kolaborasi industri juga kesukarelawanan. 

Menerusi kunjungan misi Ekosistem Inklusif ‘NARA Society 5.0 Development Centre’ (MEiNARA) ke Jepun itu memberi peluang ketiga-tiga pihak menjalinkan kerjasama dalam aktiviti konsultansi, pembangunan modal insan, penyelidikan dan pembangunan. 

Kolaborasi UMP, Sango-Town dan Social Welfare Corporation Lemonkai bangunkan program rehabilitasi dan kepimpinan inklusif

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menandatangani MoU dengan Datuk Bandar Sango-Town, Hironori Mori dan Pengerusi Social Welfare Corporation Lemonkai Jepun, Kotaro Maeda. 

Hadir sama menyaksikan MoU ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Penyelidikan dan Antarabangsa), Ahmad Rizal Adnan dan Presiden Seibu Shoko Corporation Limited, Nobi Fujita.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, UMP sebagai sebuah universiti kejuruteraan dan teknologi, kerjasama yang dirintis ini merupakan platform pemadanan yang amat berkesan bagi melancarkan inisiatif kolaborasi dengan industri yang memberi pulangan manfaat kepada semua pihak.

Kolaborasi UMP, Sango-Town dan Social Welfare Corporation Lemonkai bangunkan program rehabilitasi dan kepimpinan inklusif

“UMP turut memberi tumpuan terhadap agenda kesejahteraan warga kampus dalam Pelan Strategik UMP 2021-2025 dengan memfokuskan kesihatan dan keselamatan warga kampus yang akan turut memberi memfokuskan terhadap golongan OKU di universiti ini.

“Kejayaan pihak Sango-Town dan Social Welfare Corporation Lemonkai dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) seiring dengan konsep bandar pintar membabitkan keterlibatan dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dan kumpulan berkeperluan termasuk wanita serta warga emas menjadi contoh teladan untuk jalinan kerjasama erat yang dimeterai ini,” katanya semasa pertemuan di Leimond Village (Asca Tech Lab Facilities), Jepun.

Dalam pada itu, UMP juga sedang membangunkan Projek Rehabilitasi dan Program Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Kewangan Malaysia serta Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kolaborasi UMP, Sango-Town dan Social Welfare Corporation Lemonkai bangunkan program rehabilitasi dan kepimpinan inklusif

Ujar beliau lagi, projek ini yang diketuai oleh UMP turut melibatkan lima universiti awam termasuklah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Saya mengharapkan agar model teknologi inklusif yang bakal dibangunkan dengan beberapa elemen iaitu Inklusif, Komprehensif, Mandiri, Altruistik, Autentik, Langgas dan Lestari (iKMAL) melibatkan komuniti kurang upaya ini kelak akan menjadi yang pertama sebagai penyedia teknologi di Asia ke arah ekosistem yang harmoni,” katanya. 

Delegasi Misi Ekosistem Inklusif ‘NARA Society 5.0 Development Centre’ di Jepun (MEiNARA) turut berkunjung ke Jounetsu Company Co. Ltd. yang merupakan sebuah syarikat yang mempunyai lebih 50 peratus pekerja dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengusahakan ladang pertanian meliputi padi, sayur-sayuran dan buah-buahan di Tokushima, Jepun.

Delegasi yang disambut oleh Presiden Jounetsu Company Co. Ltd., Miki-san itu turut berpeluang menyaksikan sendiri aktiviti perladangan ladang dan pembangunan rumah hijau yang diusahakan syarikat yang merupakan antara terbesar di Tokushima.

Kolaborasi UMP, Sango-Town dan Social Welfare Corporation Lemonkai bangunkan program rehabilitasi dan kepimpinan inklusif

Turut sama menyertai delegasi Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Zuhami Omar, Pengarah Unit Perkhidmatan OKU UMP (OkUMP), Dr. Munira Abdul Razak, Ketua Unit Perkhidmatan OKU Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti), Profesor Dr. Ruzita Mohd Amin dan Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Haryani Abdullah.

Misi Ekosistem Inklusif ke Nara, Jepun itu adalah di bawah inisiatif Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kampus UMP. 

Projek itu diketuai oleh Dr. Munira Abdul Razak, Pengarah Unit Perkhidmatan OKU UMP (OkUMP).  

UMP adalah salah satu daripada lima universiti terpilih untuk program berkenaan. 

Turut serta bersama delegasi ialah UIAM.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit