Skip to main content

UMP, CyberSecurity tingkat keupayaan pakar keselamatan siber

PEKAN, 7 Disember 2021 - Program 2u2i yang dilaksanakan antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) mampu memupuk semangat keusahawanan melalui kerjasama akademik dan industri dengan pendekatan penyampaian secara Work-based Learning. 

Program pembelajaran berasaskan pekerjaan ini akan memberi pendedahan industri kepada pelajar di sepanjang pengajian mereka.

Pelajar perlu menghabiskan sekurang-kurangnya dua tahun di universiti dengan memberi tumpuan kepada aspek-aspek teori manakala selebihnya masa pengajian di industri bagi menimba pengalaman pembelajaran sebenar di dalam industri.

Melalui kerjasama ini, CSM akan melaksanakan Program Pembelajaran Berasaskan Kerja yang ditawarkan kepada pelajar sarjana muda di Pusat Sains Matematik (PSM) UMP. 

UMP, CyberSecurity tingkat keupayaan pakar keselamatan siber

Program itu akan memanfaatkan  seramai 28 orang pelajar kumpulan pertama program Analitik Data UMP untuk sesi pengambilan 2019/2020 dan 62 orang pelajar kumpulan kedua untuk sesi pengambilan 2020/2021 dalam usaha melahirkan pakar-pakar keselamatan siber yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang Data Analitik. 

Majlis menyaksikan Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan tugas Naib Canselor UMP dan Dekan Pusat Sains Matematik (PSM), Profesor Dr. Mohd Zuki Salleh menandatangani perjanjian yang berlangsung di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak UMP Pekan. 

Manakala CyberSecurity Malaysia pula diwakili oleh Ketua Pegawai Teknologi, Cybersecurity Malaysia, Ts. Dr. Solahuddin Samsuddin dan Naib Presiden Kanan, Bahagian Cybersecurity Responsive Services, Ts. Dr. Aswami Fadillah Mohammad Ariffin.

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, program 2u2i diperkenalkan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi). 

“Program 2u2i merupakan inisiatif di bawah Lonjakan 1 iaitu Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang dan Lonjakan 7 iaitu Ekosistem Inovasi.

“Inisiatif ini adalah selaras dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 iaitu inovasi dengan kerjasama industri dalam usaha universiti untuk melahirkan graduan yang boleh mengaplikasikan teori yang dipelajari di universiti dalam penyelesaian masalah praktikal sebenar di industri,” katanya.
 
Selain itu juga, tumpuan turut diberikan kepada pelajar untuk berinteraksi dan bekerja dengan rakan industri mengenai tugasan dan projek mereka dan mempunyai akses ke makmal, bengkel dengan teknologi terkini untuk mengembangkan kemahiran mereka.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada PSM dan CSM dan mengharapkan dapat mengekalkan momentum motivasi para penggerak dan melestarikan kerjasama ini. 

Begitu juga ucapan tahniah buat Ts. Dr. Aswami Fadillah Mohammad Ariffin atas lantikan sebagai PSM Studies Committee Member dan dilantik sebagai pengucap tama bagi Simposium Kebangsaan Sains Matematik Ke-28.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi, Cybersecurity Malaysia, Ts. Dr. Solahuddin Samsuddin berkata, CSM merupakan sebuah pusat pakar teknikal keselamatan siber yang dipertanggungjawab untuk memastikan aspek e-keselamatan nasional dan mengenal pasti bidang-bidang yang boleh membahayakan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Ujarnya, penubuhan CSM yang bermula pada 1997  menawarkan produk dan perkhidmatan serta menyediakan bantuan teknikal berkaitan keselamatan siber kepada sektor awam, swasta, industri  dan pengguna ICT.

“Selain itu, CSM juga mewujudkan program-program pembangunan kapasiti dan latihan bidang keselamatan  siber dengan mengadakan kolaborasi dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi mewujudkan individu yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang ini,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Dekan Kanan, Kolej Teknologi Kejuruteraan dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Work-Based-Learning UMP, Profesor Dr. Abdullah Ibrahim dan Ketua Data Forensik Digital, Cybersecurity Malaysia, Ts. Mohd Zabri Adil Talib.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris