Skip to main content

27 pemimpin pelajar UMPSA janji tunai tanggungjawab

KUANTAN, 11 Januari 2023 - Seramai 27 orang pelajar berjanji dan menandatangani surat sumpah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Sesi 2023/2024 di hadapan Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dalam majlis yang berlangsung di Swiss-Belhotel Kuantan.

Program turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan barisan pengurusan tertinggi UMPSA.

Acara penyerahan watikah dan angkat sumpah diketuai oleh Yang di-Pertua MPP Sesi 2023/2024, Muhammad Haykal Halid diikuti pelajar lain.

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie mengucapkan tahniah kepada barisan MPP Sesi 2023/2024 dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada barisan MPP Sesi 2022/2023.

Ujarnya, seorang pemimpin yang dilantik menganggotai MPP seharusnya mendokong penuh usaha untuk meninggikan kesarjanaan dan menjunjung nilai-nilai keilmuan.

27 pemimpin pelajar UMPSA janji tunai tanggungjawab

“Kepercayaan ini amat besar ertinya dan perlu digalas dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.

“Ia merupakan pengiktirafan tertinggi yang telah diberikan kepada pemimpin mahasiswa untuk dilaksanakan dengan baik.

“Perjuangan pimpinan ini meletakkan pendidikan, ilmu dan adab sebagai tunjang utama,” ujarnya.

27 pemimpin pelajar UMPSA janji tunai tanggungjawab

Justeru, beliau menyeru kepada para pemimpin sekalian supaya memainkan peranan yang berkesan sebagai medan penghubung antara pihak pengurusan universiti dengan para pelajar untuk merealisasikan kepercayaan yang telah diberikan oleh majoriti pelajar dan pihak pengurusan universiti.

Selain itu, MPP hendaklah bertindak secara profesional dalam kerangka perancangan yang terarah secara strategik.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri