Skip to main content

6 kategori pelajar bagi kemasukan fizikal ke kampus UMP mulai 6 Mac secara berperingkat

KUANTAN, 5 Februari 2021 - Hanya enam kategori pelajar berkeperluan dibenarkan kembali ke kampus secara fizikal mengikut jadual yang telah ditetapkan dalam memastikan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dapat diteruskan secara efektif.

Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah bersedia menerima kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus mulai 6 Mac bagi mengikuti pengajian Semester II, 2020/2021 yang dijadualkan bermula 1 Mac 2021 secara dalam talian.

Manakala bagi pelajar dari Sabah, Sarawak dan Labuan, mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri masing-masing sebelum hadir ke kampus pada 20 dan 21 Mac 2021.

Hal ini adalah selaras dengan garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang membenarkan pelajar tempatan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kembali ke kampus secara berfasa mengikut IPT masing-masing seawal 1 Mac dengan menetapkan kategori pertama melibatkan pelajar peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pascasiswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latihan amali, studio, bengkel dan peralatan khas.

Kategori kedua melibatkan pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif untuk melaksanakan PdP dalam talian.

Kategori ketiga pula merangkumi pelajar Asasi atau setara dan Diploma yang sedia ada di kampus untuk meneruskan pembelajaran secara hibrid.

Kategori keempat merupakan pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom (UK), kategori kelima melibatkan pelajar kelainan upaya (OKU), dan kategori keenam melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan MUET, antarabangsa dan badan profesional.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, UMP telah menyediakan pelan tindakan bagi kemasukan pelajar ke kampus dengan mengambil kira perkembangan semasa dalam tempoh negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

“Persediaan merangkumi keselamatan warga kampus, saringan kesihatan, keperluan kritikal dalam melaksanakan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara norma baharu dan pada masa yang sama PdP secara dalam talian masih diteruskan.

“UMP juga telah mengenal pasti pelajar kelainan upaya dan mereka yang tidak mempunyai akses internet dan tidak mempunyai persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian untuk kembali ke kampus.

“UMP turut mengucapkan terima kasih kepada pihak KPT dalam memberikan panduan yang berguna dan pada masa yang sama membenarkan IPT untuk menyesuaikan keputusan dengan keadaan di IPT masing-masing,” katanya.

Selain itu, pelajar dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan kembali ke kampus dan pelajar yang memerlukan keterangan lanjut boleh menghubungi Bilik Gerakan UMP di talian 09-549 3333 (UMP Kampus Gambang) dan 09-424 6999 (UMP Pekan) untuk mendapatkan sebarang khidmat nasihat dan prosedur yang berkaitan.

Namun demikian, sebarang perubahan adalah tertakluk kepada ketetapan dari pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa.

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit