Skip to main content

Program Ziarah Kasih UMPSA santuni pelajar cemerlang B40

KUANTAN, 10 Februari 2024 - Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Lt. Kol. Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman menyantuni pelajar cemerlang B40 melalui program ziarah kasih UMPSA baru-baru ini. 

Beliau turut menyerahkan surat tawaran kemasukan ke Program Ijazah Sarjana Muda bagi Ambilan Kedua Sesi Akademik 2023/2024 kepada dua orang bakal pelajar UMPSA iaitu Nur Adlina Moharizani dan Syazwan Syafiq Ibrahim. 

Kehadiran beliau disambut mesra oleh Nur Adlina dan keluarga di kediamannya yang terletak di Taman Tas Ria. 

Nur Adlina ditawarkan untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteaan (Pembuatan) dengan Kepujian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM). 

Beliau menzahirkan perasaan gembira apabila ditawarkan ke program tersebut kerana beliau juga merupakan lepasan diploma dalam bidang yang sama. 

Ibu Nur Adlina yang merupakan seorang ibu tunggal turut menzahirkan rasa terima kasih kepada UMPSA dan mengharapkan agar tawaran ini mampu menjadi penyuntik kepada Nur Adlina untuk terus berjaya.

Nur Adlina merupakan anak tunggal dalam keluarganya. 

Pada masa yang sama juga, Lt. Kol. Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman hadir ke rumah Syazwan Syafiq di Felda Bukit Goh. 

Beliau telah ditawarkan untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteaan (Elektikal) dengan Kepujian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektonik (FTKEE).

Anak bongsu daripada lapan orang adik-beradik ini merupakan lepasan Diploma UMPSA. 

Penyerahan surat tawaran tersebut telah diberikan kepada keluarganya kerana Syazwan berada di Johor Bahru untuk bekerja bagi menampung pengajian beliau di UMPSA. 

Ayahnya, Ibrahim merupakan seorang peneroka dan menghidap penyakit darah tinggi yang kronik. 

Beliau amat berterima kasih kepada pihak UMPSA yang begitu prihatin untuk menyerahkan sendiri surat tawaran kepada anaknya. 

“Peluang yang diberikan ini tidak akan dipersia-siakan memandangkan UMPSA merupakan universiti awam yang diminati oleh anaknya,” katanya. 

Menurut Syazwan, beliau bertekad untuk membantu kedua ibu bapanya setelah beliau menamatkan pengajian di UMPSA nanti agar dapat merubah nasib keluarga daripada belenggu kemiskinan

Lt. Kol. Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman berkata, inisiatif  ziarah kasih UMPSA ini adalah merupakan strategi bagi meningkatkan bilangan pelajar dan mengisi tempat yang ada berdasarkan kepada kekosongan daripada dua sesi kemasukan yang telah dibuat pada tahun 2023.

“UMPSA menawarkan kemasukan sesi ketiga iaitu pada bulan Mac 2024. 

“Selain itu juga, inisiatif ini adalah bagi memastikan pelajar-pelajar cemerlang B40 tidak tercicir di dalam arus pendidikan tinggi negara asbab kepada kemiskinan yang dihadapi. 

“UMPSA akan memastikan hasrat golongan pelajar-pelajar ini tercapai melalui program ziarah kasih seperti ini,” ujarnya. 

Di samping itu juga, Yayasan UMPSA turut menyerahkan sumbangan berupa barang dapur bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga pelajar. 

Turut hadir dalam program ziarah kasih ini ialah Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik (PPKA), Zainal Bahari. 

Disediakan Oleh Zainal Haji Bahari, Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik (PPKA) dan Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Admin UMP News