Skip to main content
Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG)

Wan Raizulhazmi terima tuah Siswa Sulung UMP

KOTA BHARU, 9 Oktober 2022 - Pelajar baharu yang bakal mendaftar masuk ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 11 Oktober 2022 ini, Wan Raizulhazmi Syukrin Wan Rizman Zailani, tidak menyangka panggilan yang diterimanya membawa tuah buatnya apabila dimaklumkan terpilih menerima Biasiswa Sulung KPT-UMP.

Siswa Sulung merupakan satu-satunya anak atau anak pertama dalam keluarga golongan B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading dan ditawarkan mengikuti pengajian di universiti bagi mengikuti program ijazah sarjana muda dan menerima Biasiswa Sulung di bawah Yayasan UMP.

Wan Raizulhazmi akan menerima biasiswa sepanjang pengajian bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (Kepujiian) Mekatronik di UMP Pekan.

Hadir berkunjung di rumahnya untuk menyampaikan Surat Tawaran Biasiswa Program SULUNG dan sumbangan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff.
 

Wan Raizulhazmi terima tuah Siswa Sulung UMP

Hadir sama ialah Pengurus Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Haryani Abdullah, Pengerusi Institusi Kefeloan UMP merangkap Pengetua Residen Pelajar 4, Nasrul Salim Pakheri dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Jaafar.

Bagi Wan Raizulhazmi, penat lelah beliau belajar kini terbalas jua.

Sebagai anak sulung, beliau mengambil tanggungjawab membantu menguruskan keluarga dan adik-adik sementara ayahnya, Wan Rizman Zailani Wan A. Rahman@Wan Ab Razak yang merupakan bapa tunggal keluar bekerja.

Beliau juga telah melunaskan bayaran pendaftaran kemasukan ke UMP sebanyak RM2,000 dengan mengunakan wang simpanan sepanjang menerima biasiswa di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Beliau turut menerima sebuah komputer riba, inisiatif Pendidikan RM1,000 dan bakul prihatin keperluan makanan sumbangan Yayasan UMP.

Menurut Datuk Dr. Mohd Zabri, inisiatif ini selari dengan hasrat KPT dalam memperkenalkan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) sebagai membantu meningkatkan ekonomi mahasiswa daripada golongan B40.

“Program SULUNG ini akan memfokuskan terhadap usaha untuk membantu pelajar B40 yang ahli keluarga mereka belum ada seorang pun yang pernah menjejakkan kaki ke menara gading.

“Ia sebagai pencetus motivasi kepada ahli keluarga yang lain untuk meningkatkan prestasi dalam bidang akademik,” katanya.

Pastinya ia juga memberi semangat buat adik-adiknya yang sedang bersekolah iaitu Wan Rairshamfazli Syafin, 17, Wan Raishaemielin Syafia, 16, Wan Rainssrullah Syamin, Wan Rainasrullah Syamin, 14 dan Wan Raifhaizam Syaheen, 13 untuk menjejaki langkah abang sulungnya untuk cemerlang dalam pelajaran.

Sementara itu, menurut Haryani, wang pendahuluan yang dilunaskan pelajar ini akan dikembalikan semula selepas ini apabila beliau dibiayai sepenuhnya melalui Biasiswa Sulung ini.

Disediakan oleh : Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit