Skip to main content

Dr. Amiril Sahab hasilkan 5 produk daripada biji buah pokok Tamanu

PEKAN, 19 Oktober 2022 - Pokok Tamanu (Bintangor Laut) tidak asing lagi di pantai timur kerana tumbuhan jenis ini banyak didapati di sepanjang pantai Timur semenanjung Malaysia. 

Projek ini sangat mudah untuk dihasilkan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) kerana sumber buah pokok Tamanu yang tersedia di sekitar UMP boleh diperoleh sepanjang tahun.

Bertitik tolak daripada penemuan ini, pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Dr. Amiril Sahab Abdul Sani, 38 telah menghasilkan lima produk untuk kegunaan berbeza yang merangkumi penggunaan komersial mahupun industri daripada hasil ekstrak minyak pokok Tamanu.

Lima produk tersebut adalah minyak perahan asli (bahan bakar pelita, minyak tradisional urutan), minyak asli tanpa getah (bahan bakar pelita, farmaseutikal), minyak berasid rendah (farmaseutikal), biodiesel Tamanu (B100), dan minyak ester sintetik (pelincir industri pembuatan).

Penyelidikan ini turut mendapat kerjasama pensyarah dan staf latihan vokasional FTKPM, UMP, pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ts. Dr. Norfazillah Talib, dan pelajar-pelajar UMP di bawah seliaan beliau.

Dr. Amiril Sahab hasilkan 5 produk daripada biji buah pokok Tamanu

Menurut Dr. Amiril, penyelidikan ini berkait rapat dengan kelestarian proses dan bahan dalam industri pembuatan dan matlamat utama penyelidikan ini adalah berkaitan dengan penggunaan bahan ‘hijau’ mudah terbiodegradasi dan boleh dibaharui.

“Penggunaan bahan mentah berasaskan petroleum dan minyak mineral dalam pemprosesan dan penghasilan minyak pelincir kegunaan industri pembuatan memberi impak negatif kepada kelestarian ekosistem industri pembuatan (harga minyak mentah yang semakin meningkat, potensi mendapat kanser kulit, bronkitis yang tinggi) dan kemandirian hidupan laut akibat bencana di laut lepas (pencemaran daripada tumpahan minyak).

“Sebagai sumber alternatif kepada penggunaan bahan terhingga (petroleum), minyak berasaskan sayuran menjadi pilihan para penyelidik. 

“Minyak sayuran yang tidak boleh dimakan menjadi bahan utama berbanding minyak boleh dimakan seperti sawit, jagung, dan lain-lain. 

“Projek ini bermula seawal Disember 2018 iaitu selepas dua minggu saya memulakan karier sebagai pensyarah di UMP,” ujarnya. 

Katanya, pada mulanya, beliau bersama-sama Dr. Ahmad Shahir Jamaludin dan Dr. Ahmad Najmuddin Ibrahim merangka idea hampir setahun sebelum memohon geran FRGS pada tahun 2019 dan diluluskan pada bulan September, tahun yang sama dan terus berkembang sehingga sekarang.

Dr. Amiril Sahab hasilkan 5 produk daripada biji buah pokok Tamanu

“Bermula dengan proses penghasilan secara manual, projek ini telah berkembang dan pelbagai mesin berjaya dibangunkan di FTKPM, UMP oleh para pelajar serta menghasilkan lebih daripada sepuluh tesis graduan sarjana muda termasuk sarjana dan doktor falsafah hasil usaha sama dengan rakan penyelidik di UTHM. 

“Projek minyak tersebut dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2022.

“Lawatan pertama sebagai seorang pensyarah UMP di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada awal tahun 2019 menjadi titik tolak pertama lahirnya penyelidikan ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, penyelidikan ini dilihat dapat memberikan manfaat tersendiri kepada masyarakat, individu mahupun industri.

“Nasihat dan panduan daripada FRIM ternyaa banyak membantu mengembangkan lagi projek ini. 

“Pada tahun ini, bermula pula kerjasama dengan pihak industri, Reger Tools Sdn. Bhd. iaitu berkaitan dengan penggunaan minyak untuk tujuan kajian keabsahan minyak semasa proses pemotongan besi,” katanya. 

Jelas Dr. Amiril, produk pertama, kedua dan ketiga daripada minyak pokok Tamanu adalah minyak asli daripada ekstrak biji Tamanu dan boleh digunakan secara tradisional dan farmaseutikal.

“Produk keempat pula adalah biodiesel Tamanu (B100) daripada ekstrak minyak Tamanu mempunyai sifat-sifat biodiesel B100 yang menepati piawaian antarabangsa iaitu ASTM D6751.

“Produk terakhir iaitu minyak ester sintetik (pelincir industri pembuatan) daripada ekstrak minyak Tamanu ini ialah ester sintetik berasaskan sayuran yang telah diformulasi bagi membantu melicinkan permukaan besi ketika dipotong (metal separating process). 

“Minyak Tamanu ester disembur menggunakan mesin penyembur aerosol yang dinamakan teknik semburan pelinciran minimum atau minimum quantity lubrication (MQL) technique,” katanya. 

Tambah beliau lagi, mesin-mesin yang terlibat di dalam penghasilan minyak ini secara separa automatik ialah mesin haba pengering (keringkan buah dan biji), mesin pemisah biji daripada buah (pecahkan buah dan asingkan biji) dan mesin pemerah minyak.”

“Minyak ekstrak daripada buah Tamanu boleh dimanfaatkan oleh masyarakat setempat apabila produk keempat (biodiesel) dan kelima (ester sintetik berasaskan Tamanu) berjaya dikomersialkan.

“Pengkomersialan ini bukan sahaja membantu ekonomi masyarakat, malah menggalakkan keterlibatan masyarakat dalam penghasilan produk tempatan bertaraf dunia.

“Pembuatan mesin-mesin automatik juga dapat memanfaatkan teknologi untuk masyarakat dengan keterlibatan dalam pembangunan produk yang lebih mapan,” katanya.

“Selain itu, jelasnya, minyak Tamanu asli boleh dimanfaatkan untuk kegunaan tradisional mahupun farmaseutikal.”

“Saya yakin penyelidikan hasil sumber boleh dibaharui daripada pokok Tamanu ini masih boleh dikembangkan lagi kerana terdapat beberapa fungsi lain yang boleh dimanfaatkan daripada buah dan daun pokok Tamanu seperti penghasilan arang mampat, bahan tambah berasaskan karbon teraktif dan lain-lain.

“Kos jualan bagi setiap produk adalah, minyak perahan asli (bahan bakar pelita) – RM350 /kg, minyak asli tanpa getah (bahan bakar pelita, farmaseutikal) – RM450 /kg, minyak asid rendah (farmaseutikal) – RM500 /kg, biodiesel Tamanu (B100) – RM750 /kg, dan minyak ester sintetik (pelincir industri pembuatan) – RM900 /kg,” kata beliau. 

Menurutnya, kolaborasi industri dan UMP akan membolehkan pengkomersialan produk dan juga mesin yang telah dibangunkan di dalam projek ini.

“Masyarakat dapat terlibat sama dalam penjanaan ekonomi tempatan dengan penghasilan buah dan tanaman pokok Tamanu yang sinonim dengan keadaan pantai di Pekan Pahang,” ujarnya. 

Penyelidikan ini meraih pingat emas dalam Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX) 2021.

Pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2022 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 26 dan 27 Mei 2022, penyelidikan ini turut meraih pingat emas.

Disediakan oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nur Hartini binti Mohd Hatta