Skip to main content

Dr. Khairul Anuar hasilkan CLINKROOF, sistem bumbung hijau mampan berasaskan sisa bahan kelapa sawit

PEKAN, 27 Disember 2022 - Banjir kilat dan kenaikan suhu di bandar-bandar besar kesan daripada pulau haba bandar atau urban heat island yang diuar-uarkan media massa semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini. 

Melihat kepada keadaan ini telah mencetuskan idea kepada pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) UMP, Dr. Khairul Anuar Shahid bagi menghasilkan CLINKROOF yang dapat mengurangkan potensi berlakunya banjir kilat dan dapat menurunkan suhu di dalam bangunan menggunakan semula sisa bahan buangan sisa pepejal dari kilang sawit melalui pembinaan bumbung hijau atau green roof.

Produk ini turut mendapat kerjasama daripada pensyarah FTKA, Dr. Noor Suraya Romali, Ts. Dr. Mohd Faizal Md. Jaafar, Ts. Roziah Zailan, Ts. Norhaiza Ghazali, dan Hasmanie Abd. Halim.

Menurut Dr. Khairul, idea untuk menghasilkan produk ini tercipta semasa beliau melawat kilang sawit yang berdekatan dengan UMP. 

Dr. Khairul Anuar hasilkan CLINKROOF, sistem bumbung hijau mampan berasaskan sisa bahan kelapa sawit

“Kilang tersebut menghasilkan bahan buangan hasil daripada pemprosesan minyak sawit iaitu palm oil clinker, empty fruit bunch dan POME (palm oil mill effluent).

“Produk ini dihasilkan berdasarkan beberapa sistem lapisan seperti vegetative, substrate, filter, dan drainage layer. 

“Kesemua lapisan kecuali lapisan vegetative menggunakan bahan buangan dari kilang sawit,” katanya.

Jelas beliau lagi, lapisan vegetative adalah lapisan untuk tanaman atau pokok. 

“Kesemua lapisan ini akan dibina di atas permukaan bumbung bangunan dan akan ditanam dengan pokok- pokok yang menjalar. 

“Bumbung hijau dapat memberikan kesan sejuk di dalam dan di persekitaran bangunan. 

“Selain itu, ia dapat mengurangkan potensi berlakunya banjir kilat di kawasan bandar-bandar besar yang kurang permukaan tanah untuk menyerap air ke dalam tanah,” ujarnya. 

Penyelidikan ini telah bermula sejak tahun 2013 di bawah geran dalaman UMP dan diteruskan lagi pada tahun 2021 kerana terdapat potensi besar bagi menghasilkan CLINKROOF di kawasan yang sering berlakunya banjir kilat seperti Kuala Lumpur. 

Tambah beliau lagi, perancangan terhadap produk ini adalah dengan meneruskan penyelidikan yang lebih mendalam bagi meningkatkan fungsi produk bersama rakan-rakan dari industri.

“Produk ini juga telah banyak ditambah baik dari segi fungsi dan kebolehbinaan.

“Diharap produk ini dapat dikomersialkan kerana mempunyai potensi yang tinggi untuk mengurangkan terjadinya banjir kilat terutamanya di kawasan bandar-bandar padat dengan pembangunan dan juga berpotensi untuk mengurangkan suhu di dalam dan di sekitar kawasan tersebut. 

“Kos produk juga jauh lebih rendah daripada produk konvensional kerana diperbuat daripada bahan-bahan buangan kelapa sawit dan secara tidak langsung telah menyumbang ke arah kelestarian alam,” katanya. 

Penyelidikan ini pernah meraih pingat emas dalam Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX) 2022.

Pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2022 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 26 dan 27 Mei 2022, penyelidikan ini turut meraih pingat emas.

Disediakan oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nur Hartini binti Mohd Hatta