Skip to main content

Ts. Dr. Nurul Nadrah Aqilah cipta perisian meramal paras air sungai bagi mengenal pasti kawasan banjir

PEKAN, 26 Disember 2023 – Kesukaran menganalisis data paras air yang merupakan data penting bagi mengenal pasti kawasan banjir mencetuskan idea kepada seorang penyelidik dan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Ts. Dr. Nurul Nadrah Aqilah Tukimat, 38 untuk menghasilkan WALES Simulator, perisian yang dapat meramal paras air sungai berdasarkan pemboleh ubah meteorologi seperti hujan dan sejatan. 

Dalam mengenal pasti parameter dan menghasilkan persamaan paras air jangka panjang, penyelidikan ini telah dijalankan bersama pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr. Siti Nazahiya Rahmat dan dua orang pelajar sarjana iaitu Wan Zunairah Othman dan Wan Amirul Syahmi Wan Mazlan.

Selain itu, beberapa orang pensyarah FTKA, Profesor Madya Dr. Abdul Syukor Abd. Razak, Dr. Nur Farhayu Ariffin dan Dr. Muhammad Khusyren Sulaiman turut menyumbangkan idea berkenaan perisian ini. 

Ts. Dr. Nurul Nadrah Aqilah cipta perisian meramal paras air sungai bagi mengenal pasti kawasan banjir

Menurut Ts. Dr. Nurul Nadrah Aqilah, dalam amalan semasa, stesen paras air terletak di lokasi tertentu untuk mengesan perubahan paras air sungai (WL). 

“Maklumat daripada WL adalah petunjuk terbaik untuk sistem amaran banjir dan ramalan potensi banjir, banjir kilat serta kemarau. 

“Walau bagaimanapun, kekurangan stesen WL yang dipasang di tapak, terutamanya di lokasi yang terdedah kepada banjir, mewujudkan cabaran dan masalah dalam pemodelan hidrologi, terutamanya untuk pemantauan jangka panjang dan menganggar kesan perubahan iklim. 

“Tambahan pula, masalah data yang hilang pada stesen WL sedia ada disebabkan oleh salah komunikasi rangkaian juga membawa kepada keputusan berat sebelah dalam kerja pemodelan hidrologi,” ujarnya. 

Oleh itu, katanya WALES Simulator ialah perisian terbaik untuk menyelesaikan masalah mengisi WL yang hilang, menganggarkan WL terutamanya di kawasan yang tidak dikawal dan meramalkan perubahan jangka panjang WL. 

Penyelidikan yang bermula pada tahun 2021 itu turut mendapat kerjasama daripada Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) yang merupakan salah satu agensi yang akan mengguna pakai aplikasi tersebut.

Beliau menjelaskan, pengguna boleh menggunakan perisian ini dengan memasukkan jumlah curahan hujan dan penyejatan setiap bulan termasuklah memasukkan makluman bulan, lokasi dan seterusnya bahagian pengiraan akan melakukan pengiraan bagi menganggarkan paras air. 

Ts. Dr. Nurul Nadrah Aqilah cipta perisian meramal paras air sungai bagi mengenal pasti kawasan banjir

Buat masa kini, harga perisian hanya untuk satu negeri sahaja dengan kos minimum sekurang-kurangnya RM15,000 yang merangkumi perisian, latihan dan manual. 

Walau bagaimanapun, harga tersebut berubah tertakluk kepada lokasi dan bilangan stesen yang diperlukan.

Beliau juga berhasrat mahu meluaskan lagi penggunaan WALES Simulator kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan sebagainya.

Sebelum ini, beliau pernah menghasilkan perisian IIUVIA Converter – The Rainfall Solution.

Produk ini telah merangkul pingat emas dalam Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX) 2023.

Pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 11 hingga 12 Mei 2023, penyelidikan ini turut meraih pingat emas.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Nur Hartini binti Mohd Hatta