Skip to main content

31 sukarelawan pelajar Kelab InSmartive UMPSA santuni Orang Asli Suku Temiar Pos Brooke, Lojing

GUA MUSANG, 17 Mac 2024 - Cabaran cuaca panas terik dan ibadah puasa bulan Ramadan kali ini tidak sedikit pun menumpulkan semangat 31 sukarelawan mahasiswa Kelab InSmartive Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) untuk menjayakan Projek Semaian Kasih bersama masyarakat Orang Asli Suku Temiar di Penempatan Orang Asli Pos Brooke, Jajahan Kecil Lojing.

Program tiga hari itu ditaja oleh Qariah Masjid Saidina Umar Al-Khattab (MSUA), Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Di samping itu juga, program ini turut menerima bantuan logistik dan tenaga dari tiga Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Malaysian Relief Agency (MRA) Negeri Perak; Persatuan Sukarelawan Mesra Hospital Sungai Buloh, Selangor dan Pertubuhan Sukarelawan Pendidikan Malaysia (InSmartive Malaysia) serta kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Selain fokus khusus terhadap edaran bakul makanan dan juadah berbuka puasa yang diamanahkan pihak MSUA, projek ini turut mendedahkan para sukarelawan Kelab InSmartive UMPSA kepada kerja lapangan bancian isi rumah, kesedaran pendidikan dan penjagaan kesihatan di enam buah Kampung Orang Asli (KOA) iaitu Brooke Lama, Mendrod, Jedip A, Jedip B, Jelgek A dan Jelgek B.

Menurut Pengurus Projek, Mimi Dayana Sahar yang juga merupakan pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), antara pengalaman yang paling istimewa bagi para sukarelawan Kelab InSmartive UMPSA ialah gotong-royong penyediaan berbuka puasa dengan cara tradisional Orang Asli Suku Temiar iaitu memasak nasi, ubi kayu dan lauk dalam buluh, solat sunat tarawih dan bersahur bersama masyarakat setempat serta memahami keunikan budaya mereka untuk berdakwah secara berhemah dan berhikmah. 

31 sukarelawan pelajar Kelab InSmartive UMPSA santuni Orang Asli Suku Temiar Pos Brooke, Lojing

Turut hadir sepanjang pelaksanaan projek ini di lapangan bersama para sukarelawan yang ditempatkan di Surau Al-Amin, KOA Brooke Lama dan Surau At-Taqwa, KOA Mendrod ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MRA, Dato' Dr. Abdul Razak Kechik, Pengerusi MRA Perak, Dasuki Wahab dan Pengerusi Persatuan Sukarelawan Mesra Hospital Sungai Buloh, Datin Seri Siti Zubedah Hazabollah.

Hadir sama Pengerusi InSmartive Malaysia, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain yang juga merupakan Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri UMPSA; Presiden Kelab InSmartive UMPSA, Haziq Zulhilmi Mohd Rashid dan Penyelaras Projek Semaian Kasih, Nor Atikah Norhisyam.

Untuk rekod, walaupun berada di bawah pentadbiran Jajahan Kecil Lojing, Kelantan, Pos Brooke yang mengandungi 18 KOA dengan 4,000 penduduk dengan jarak hanya 20 kilometer dari Daerah Cameron Highlands, Pahang dan 27 kilometer dari Daerah Kinta, Perak menjadikan kedua-dua daerah berkenaan amat signifikan sebagai antara katalis utama kemajuan sosioekonomi setempat.

Disediakan Oleh: Fatin Nabila Doromae, Kelab Insmartive UMPSA
Foto: Farah Nur Balqis Aqilah Zuraini, Kelab Insmartive UMPSA

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News