Skip to main content

Daftar UMPSA naik kenderaan universiti

GAMBANG, 30 September 2023 - Impian seorang nenek menjadi kenyataan untuk menghantar cucunya mendaftar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) apabila pihak UMPSA datang ke rumahnya di Sanglang Kedah untuk membawa mereka ke Kuantan, Pahang. 

Che Su Saad, 70 berkata, bagaikan mimpi apabila dapat menghantar cucunya, Muhammad Zahir Hilmi Zamri, 19 yang bakal menyambung pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automasi Elektronik Industri kerana perancangan awal Zahir hanya mahu menaiki bas seorang diri kerana memikirkan kos yang tinggi.

“Sejak mendapat perkhabaran Zahir dapat menyambung belajar di UMPSA, hati saya berbaur gembira dan risau.

“Saya memikirkan tak sampai hati melepaskan Zahir seorang diri menaiki bas untuk mendaftar. 

“Tambahan pula, kami sendiri tidak pernah menjejakkan kaki ke Pahang dan tiada saudara mara di sana,” katanya.

Justeru, siang malam beliau berdoa dan turutmengadakan doa kesyukuran agar segala urusannya dipermudahkan.

Sehinggalah suatu hari, Zahir memaklumkan pihak UMPSA akan datang ke Kedah dan akan membawanya mendaftar. 

Pada awalnya, pihaknya masih ragu-ragu dengan pelawaan tesebut malah orang kampung juga turut hairan dengan perkhidmatan pengangkutan yang disediakan oleh UMPSA.  

Apabila tiba saat yang dijanjikan, hari Jumaat, pihaknya menerima kunjungan daripada UMPSA dan terus membawa mereka bertiga termasuk Zahir dan ibunya, Rosemariani Yen ke Kuantan. 

Ibu Zahir, Rosemariani merakamkan ucapan berterima kasih kepada UMPSA yang bukan sahaja mengambil dan menghantar mereka sekeluarga yang tinggal di Kedah, malah turut menyediakan tempat tinggal ketika menanti hari pendaftaran.

Zahir ketika ditemui turut melahirkan rasa syukur apabila dapat menyambung pengajian di UMPSA. 

Daftar UMPSA naik kenderaan universiti

“Terima kasih kepada nenek, emak, ayah serta ayah saudaranya yang begitu banyak berkorban demi masa depan saya.

“Pengorbanan ini amat bermakna dan memberi inpirasi untuk saya meneruskan pengajian di UMPSA. 

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada UMPSA yang amat prihatin terhadap kebajikan pelajar tidak kira di mana jua berada,” katanya.

Zahir adalah antara segelintir pelajar yang dibantu pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dalam menyantuni pelajar baharu sempena hari pendaftaran baru-baru ini. 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris