Skip to main content

Dorongan guru, impian Nooraizah sambung pengajian di UMPSA tertunai

PEKAN, 2 Oktober 2023 - Impian Nooraizah Mohd Safie, 18, pelajar lepasan  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Dor, Jerteh untuk menyambung pengajian ke universiti menjadi kenyataan apabila beliau hadir  mendaftar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini. 

Lebih bermakna kehadirannya bukan sahaja bersama ibu dan adik-beradik malah bersama dua orang guru SMK Tok Dor yang sentiasa mendorongnya untuk menyambung pengajian turut menemaninya. 

Ketibaan mereka disambut oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.

Dorongan guru, impian Nooraizah sambung pengajian di UMPSA tertunai

Nooraizah, yang ditawarkan pengajian dalam program Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembuatan itu, tidak pernah menyangka akan dapat melanjutkan pengajian ke universiti disebabkan oleh kekangan kewangan. 

Katanya, kehidupan yang sukar dan kewangan keluarga yang terbatas hampir menghentikan langkahnya dalam mengejar impian ke universiti.

Jelas beliau lagi, keluarganya hanya bergantung kepada pendapatan ibu, Wan Kamariah Wan Ngah, 48, yang mencari nafkah dengan menoreh getah selepas bapanya, Muhamad Safie Jusoh, 47, meninggal dunia akibat COVID-19 dua tahun lepas. 

Beliau yang merupakan anak ketiga dari enam beradik itu merupakan anak harapan keluarga dan sering membantu ibunya di rumah serta menguruskan keluarga. 

Dorongan guru, impian Nooraizah sambung pengajian di UMPSA tertunai

Kakak sulungnya merupakan insan istimewa cacat pendengaran begitu juga adik bongsu beliau yang juga merupakan insan istimewa menghidap penyakit ‘Japanese Encephalitis’ sewaktu berusia sepuluh tahun.

Abangnya pula hanya bekerja sebagai buruh di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran kampung, manakala dua orang adiknya masih lagi bersekolah.

Sementara itu, bagi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Tok Dor, Cikgu Mohd Syamri Abd Razak yang turut sama mengiringi pelajarnya ke UMPSA berkata, perjalanan Nooraizah merupakan satu pengalaman yang bermakna buat guru-guru SMK Tok Dor yang turut terlibat membimbing dan membantu Nooraizah untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

“Nooraizah telah menempuhi banyak rintangan dan dugaan dalam hidupnya.

“Kami yakin bahawa Nooraizah akan menjadi satu contoh dan inspirasi kepada pelajar-pelajar lain terutamanya bagi pelajar di SMK Tok Dor,” katanya.

Dalam pada itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin turut memberi jaminan agar nasib pelajar yang kurang berkemampuan akan terus menjadi keutamaan universiti.

"UMPSA sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya untuk memastikan bahawa setiap pelajar terutamanya mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan, memperoleh peluang pendidikan yang setara dan berkualiti di sini. 

“Kami akan terus menyediakan bantuan kewangan, sokongan akademik, dan pelbagai inisiatif untuk memastikan mereka dapat mengejar impian mereka tanpa sebarang halangan,” ujarnya.

Nooraizah akan menerima Bantuan Dermasiswa B40 TVET Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menampung keseluruhan kos yuran pengajian berserta elaun wang saku untuk perbelanjaannya sepanjang pengajian di UMPSA. 

Malah, beliau juga turut menerima Bantuan Awal Insentif Pendidikan sebanyak RM1,000.00 dan Bantuan Komputer Riba sebagai kemudahan sepanjang pengajian. 

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Mohd Shukri, Pusat Komunikasi Korporat. 

Reports by:
ainaa adhreena