Skip to main content

Hasrat pelajar masuk UMPSA tertunai, terima pembiayaan sepanjang pengajian

JERTEH, TERENGGANU, 25 September 2023 - Hasrat pelajar lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Dor, Jerteh, Nooraizah Mohd Safie, 19 untuk ke menara gading tertunai setelah beliau hampir melupakan hasrat untuk menyambung pengajian apabila mengenang nasib keluarganya yang tidak mampu menyara pengajiannya susulan kesusahan hidupan dan kekangan kewangan yang dihadapi keluarga. 

Beliau yang ditawarkan untuk menyambung pengajian dalam program Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembuatan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hampir melupakan impiannya untuk menyambung pengajian memandangkan pendapatan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada ibunya, Wan Kamariah Wan Ngah, 48  dengan menoreh getah setelah bapanya, Muhamad Safie Jusoh, 47 meninggal dunia akibat COVID-19.

Hasrat pelajar masuk UMPSA tertunai, terima pembiayaan sepanjang pengajian

Berasal dari Kampung Anak Ikan, Jerteh Terengganu, Nooraizah yang merupakan anak ketiga daripada enam adik-beradik merupakan anak harapan keluarga. 

Dua orang adiknya juga masih bersekolah. 

Dalam pada itu, kakak sulungnya merupakan insan istimewa yang cacat pendengaran manakala adik bongsunya juga insan istimewa akibat Japanese Encephalitis berusia sepuluh tahun. 

Abangnya juga tidak meneruskan pengajian dan kini bekerja sebagai buruh di salah sebuah ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya.

Nooraizah berkata, kunjungan pihak UMPSA yang datang membantu, guru-guru yang memberi galakan dan melihat keadaan ibu telah membakar semangatnya  untuk menjadi pelajar yang berjaya dan mengubah nasib keluarganya,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, pihak universiti dan Yayasan UMP sentiasa prihatin dalam menghulurkan bantuan buat pelajar berkeperluan dalam meringankan beban pelajar. 

“Setelah meneliti keperluan pelajar ini, Nooraziah bakal menerima Bantuan Dermasiswa B40 TVET Kementerian Pendidikan Tinggi yang akan membiayai keseluruhan kos yuran pengajian dan bantuan elaun wang saku beliau sepanjang tempoh pengajian di UMPSA. 

“Beliau juga berpeluang menerima Bantuan Awal Insentif Pendidikan sebanyak RM1,000.00 sebagai persediaan sebelum memasuki universiti dan Bantuan Komputer Riba untuk memudah cara pengajian beliau kelak,” katanya. 

Pihak universiti turut menghargai kesungguhan dan dorongan Pengetua SMK Tok Dor, Tengku Jailani Tengku Awang serta Guru Kaunselor, Norhayati Mohd Daud dalam usaha membantu pelajar ini.

Penolong Naib Canselor, Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh hadir bagi menyampaikan surat tawaran masuk ke UMPSA. 

Turut sama Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Haryani Abdullah, Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik, Zainal Bahari, Ketua Program Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembuatan, Dr. Nurrina Rosli dan Pengurus Kanan, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Hazmin Aris. 

Hasrat pelajar masuk UMPSA tertunai, terima pembiayaan sepanjang pengajian

Kisah Nooraizah sebelum ini tular akibat kesusahan dan kesempitan hidup kerana terpaksa menolak tawaran pengajian di matrikulasi dan Diploma di UMPSA telah menarik perhatian di media sosial dan mendapat perhatian pihak universiti untuk hadir membantu. 

Dalam pada itu, cakna terhadap nasib pelajar baharu, menjelang pendaftaran mahasiswa pada 30 September 2023 ini, pihaknya menerusi Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) juga sedang mengadakan verifikasi akhir di lapangan bagi mengenal pasti Penerima Biasiswa Sulung dan meneliti keperluan pelajar terutamanya daripada keluarga B40. 

Disediakan oleh: Muhammad Aizat Azed, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News