Skip to main content

Peluang pekerjaan buat pasukan sukarelawan UMP

PEKAN, 8 Mac 2021– Penyertaan para pelajar dalam pasukan sukarelawan keselamatan negara telah banyak menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran graduan dalam pekerjaan sebaik sahaja mereka tamat pengajian.
Menurut Kapten (K) Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff yang merupakan Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), majoriti dalam kalangan mereka ditempatkan di unit-unit atau formasi strategik yang bersifat teknikal.
Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) berucap dalam Majlis Perjumpaan Bersama Badan Beruniform UMP yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan baru-baru ini.
Katanya, peranan angkatan badan beruniform di universiti sangat penting kerana ia merupakan salah satu entiti yang menjalankan latihan dan aktiviti kokurikulum menerusi kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang bersifat lapangan (outdoor) dan experiential learning dalam membangunkan adab sahsiah pelajar.
“Saya berharap badan-badan beruniform ini akan menjadi kumpulan terbesar yang menyumbang dalam pasukan kesukarelawan yang sedia digerakkan pada bila-bila masa dalam pelbagai bidang semasa negara dilanda bencana atau musibah.
“Mereka turut berperanan dalam membantu pembangunan fizikal universiti, membantu rakan sebaya dan sentiasa memastikan keselamatan kampus,” katanya.
Beliau juga dimaklumkan sejak tahun 2015, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan eksesais pengambilan khusus untuk mahasiswa yang menamatkan latihan dalam pasukan Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS).
“Eksesais pengambilan khas ini telah mengiktiraf dan mewujudkan peluang yang besar kepada para pelajar kita yang berjaya dilantik sebagai Inspektor Sukarelawan sebaik sahaja tamat latihan di universiti,” katanya.
“Malahan, tempoh latihan yang wajib mereka lepasi semasa di Maktab Latihan Polis juga lebih singkat iaitu hanya selama tiga bulan sahaja berbanding sembilan bulan bagi pengambilan awam.
“Walaupun pengambilan melalui laluan khas ini tidak dilaksanakan di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pihak universiti difahamkan bahawa calon pegawai yang telah bertauliah sebagai Leftenan Muda semasa pengajian mereka adalah calon pilihan panel pemilih ATM,” katanya.
Ujarnya, ini sekaligus menjadikan satu merit kepada graduan universiti semasa proses pengambilan Pegawai Kadet tersebut.
“Justeru, sumbangan dan kewujudan setiap badan beruniform di UMP ini sangat signifikan sebagai salah satu daripada peluang bagi memasarkan graduan universiti dalam bidang pekerjaan.
“Pihak UMP juga tidak menghalang pelajar kembali ke kampus sekiranya mereka perlu mengikuti latihan secara fizikal namun mereka perlu sentiasa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Pengarah Pusat Kokurikulum UMP, ASP/KS Ts. Dr. Siti Rabiatull Aisha Idris pula berkata, “Terdapat lima badan beruniform iaitu PALAPES Darat, Laut dan Udara; Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sehingga kini mempunyai seramai 529 orang pegawai kadet di universiti.”
Pada masa yang sama turut berlangsung pembentangan pelaksanaan latihan ketenteraan dan perancangan aktiviti yang bakal dijalankan pada tahun ini bagi setiap badan beruniform universiti.
Hadir sama ialah Leftenan Kolonel Profesor Dato’ Dr. Rosli Yunus, Timbalan Komandan PALAPES Udara UMP yang juga Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan Leftenan Komander Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Komandan Kor Sukarelawan Siswa Siswi Polis (SUKSIS) UMP yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). 
Turut sama hadir ialah Penolong Pesuruhjaya Profesor Ts. Dr. Rosli Hainin, Komandan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) UMP yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Leftenan Komander Zainuddin Othman, Komander Kehormat PALAPES LAUT UMP yang juga merupakan Bendahari UMP.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Haji Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris