Skip to main content

Pengukuhan pengalaman 18 pelajar dalam Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) melalui lawatan ke SPRM Pahang

PEKAN, 7 Disember 2022 – Lawatan pelajar ke mana-mana pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah digariskan di dalam Pelan Pembelajaran Pelajar bagi mengukuhkan pengalaman pembelajaran. 

Selama dua semester lawatan secara maya telah diadakan memandangkan kekangan pandemik yang menyebabkan pembelajaran dijalankan sepenuhnya secara dalam talian.

Seramai 18 orang pelajar UMP Pekan yang mengikuti Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) telah mengadakan lawatan ke SPRM Pahang baru-baru ini.

Lawatan yang diketuai oleh Dekan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr. Mohamad Hilmi Mat Said itu turut diiringi dengan beberapa orang pengajar kursus KIAR. 

Pada sesi berkenaan, Koordinator Kursus KIAR, Dr. Hadijah Ahmad telah berkongsi maklumat ringkas mengenai kursus KIAR iaitu jumlah enrolmen pelajar, pentaksiran yang dijalankan, aktiviti pengukuhan dan program-program di bawah subjek KIAR. 

Pelajar KIAR tekun mendengar perkongsian Pegawai Penyiasat SPRM
Pelajar KIAR tekun mendengar perkongsian Pegawai Penyiasat SPRM 

Pada masa yang sama juga, Pengarah SPRM Pahang, Tuan Hairuzam Mohmad Amin@Hamim turut berkongsi pengalaman berkaitan penyiasatan kes-kes rasuah yang sebenar, prosedur terlibat, akta-akta berkaitan serta hukuman kesalahan jenayah rasuah telah dikongsi secara santai oleh pegawai penyiasatan SPRM.

Beliau turut menyampaikan maklumat mengendalikan fungsi teras SPRM itu di kebanyakan agensi kerajaan dan swasta mengikut tatacara sebenar bagi membanteras jenayah rasuah. 

Katanya, selain itu, terdapat beberapa bidang-bidang keperluan kerjaya sebagai pegawai penyiasat seperti kejuruteraan, kewangan, dan perundangan. 

“Tugasan SPRM yang semakin mencabar dan berat memerlukan lebih ramai pelapis muda untuk menyertai pasukan SPRM dalam memikul amanah rakyat Malaysia,” ujarnya yang terlibat dengan kes-kes penyiasatan selama belasan tahun. 

Dalam lawatan yang sama, para pelajar juga dibawa melawat ke bilik rakaman temu bual video atau Video Interview Room (VIR). 

Bilik VIR Gambar ihsan Astro Awani
Bilik VIR Gambar ihsan Astro Awani

Jelas beliau lagi, bagi meningkatkan ketelusan dalam prosedur siasatan, bilik tersebut mempunyai kamera depan belakang, serta sisi dan turut dilengkapi dengan sistem audio yang canggih. 

“Kamera litar turut memaparkan empat panel pandangan bagi setiap sisi bilik. 

“Apabila setiap rakaman percakapan selesai, terdapat tiga salinan yang akan diberikan kepada saksi, pegawai penyiasat dan juga serahan dokumen kepada mahkamah,” katanya. 

Di samping itu, para pelajar turut merasai pengalaman berada di dalam bilik kawad cam yang mempunyai dua bahagian iaitu bahagian pertama adalah bahagian kedudukan orang kena tuduh dan bahagian kedua adalah saksi yang membuat pengecaman. 

Katanya, prosedur bagi kawad cam adalah tiga kali pengecaman dan setiap satu sesi iaitu yang pertama orang kena tuduh akan berdiri dalam satu barisan tegak bersama beberapa orang yang mempunyai ciri-ciri fizikal yang hampir serupa. 

“Setelah pengecaman dibuat sebanyak tiga kali dan saksi pasti bahawa orang kena tuduh adalah orang yang melakukan jenayah, maka sesi kawad cam akan berakhir. 

“Tetapi jika berlaku sebaliknya, sesi tersebut akan diulang kembali bagi mendapatkan kepastian saksi,” katanya. 

Pada masa yang sama, pelajar juga dibawa ke sel tahanan orang kena tuduh dan gudang sisa bagi melihat beberapa barang sitaan yang dibeli secara tunai oleh pesalah seperti kereta mewah.

Menurut Tuan Hairuzam juga, terdapat tujuh sel tahanan bagi lelaki dan dua sel tahanan bagi perempuan lengkap dengan kamera litar tertutup. 

“Gudang sita iaitu tempat penyitaan harta tertuduh yang melakukan jenayah penggubahan wang haram. 

“Bagi harta yang masih mempunyai ikatan liabiliti dengan bank, untuk melepaskan sitaan tersebut, orang kena tuduh perlu membayar bon sebagai jaminan,” ujarnya. 

Manakala tambah Dr. Hadijah, lawatan ke SPRM adalah sebagai satu langkah yang baik kerana PSK sentiasa mendokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM) dan SPRM dalam memupuk pelajar menjadi ejan penyebar integriti dan anti rasuah. 

“Ia juga sesuai dengan hasrat Perdana Menteri Malaysia dalam menghasilkan tenaga kerja yang berbudaya integriti pada masa hadapan,” ujarnya. 

Disediakan oleh: Dr. Hadijah Ahmad, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News