Skip to main content

Program Underwater Robot Challenge 2023 tarik minat pelajar sekolah pelajari asas robotik

PEKAN, 9 Disember 2023- Pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Sapi,Sabah (Kumpulan 1) berjaya muncul juara bagi kategori sekolah menengah manakala kategori sekolah rendah pula dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Pelak, Pekan dalam Pertandingan Underwater Robot Challenge 2023 yang berlangsung di Pusat Selaman Akademik Adab Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Pekan baru-baru ini.
 
Sebanyak 21 pasukan terdiri dari pelajar sekolah dan menengah telah menyertai pertandingan ini yang merupakan anjuran UMPSA dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan IEEE Oceanic Engineering Society (OES) Malaysia Chapter.
 
Bagi kategori sekolah menengah tempat kedua dan ketiga telah dimenangi oleh kumpulan 2 dan 3 dari Kolej Vokasional Dato’ Seri Abu Zahar Isnin, Melaka.
 
Tempat keempat dan kelima pula telah dimenangi oleh SMK Paloh Hinai, Pekan dan SMK (P) Methodist, Kuantan.
 
Kategori sekolah rendah pula tempat kedua telah dimenangi oleh SK Kesang Tua,Melaka. 

Tempat ketiga dan keempat pula telah dimenangi oleh SK Kem Terendak, Melaka dan SK Seri Sentosa, Pulau Pinang.
 
Hadiah disampaikan oleh Dekan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Madya Dr. Hamdan Daniyal.
 
Dalam ucapannya beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang menyertai pertandingan Underwater Robot Challenge 2023.

Program Underwater Robot Challenge

“Pertandingan peringkat kebangsaan yang terbuka kepada sekolah-sekolah di Malaysia ini merupakan anjuran kali kedua sejak ia mula diperkenalkan pada tahun lepas.
 
“Program ini memberi pendedahan buat pelajar mempelajari asas robotik yang dapat mencetuskan minat golongan muda untuk meminati bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) yang memfokuskan kepada pengembangan kemahiran kritis serta keupayaan pelajar untuk memahami, meneroka dan menyelesaikan masalah,” katanya.
 
Pihaknya mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak yang menjayakan program dan memilih UMPSA sebagai tuan rumah bagi penganjuran program ini.
 
Penyertaan ini melibatkan lima buah  sekolah rendah dan tujuh dari sekolah menengah antaranya seperti Sekolah Seni Malaysia (Johor), SMK Mat Kilau (Pahang), SMK Kuala Krai (Kelantan).
 
UMPSA mempunyai kolam selaman yang merupakan salah satu daya tarikan di universiti yang mula beroperasi sejak tahun 2021 untuk kemudahan pelajar menjalani latihan perapungan, renang dan selaman.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Admin UMP News