Skip to main content

UMP jalankan simulasi kemasukan pelajar ke kampus

PEKAN, 11 Februari 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengadakan simulasi saringan kemasukan pelajar ke kampus di Pekan dan Gambang sebagai persediaan menerima kemasukan pelajar kembali ke kampus mulai 6 Mac depan.

Program yang dikendalikan Pusat Kesihatan UMP (PKU) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) itu merupakan salah satu cara sebelum berhadapan dengan situasi sebenar pada kemasukan secara berjadual bagi kelompok enam kategori yang diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan UMP baru-baru ini.

Turut sama menjayakan program simulasi adalah petugas dari Bahagian Keselamatan, Pejabat Naib Canselor dan Residen Pelajar.

Menurut Pengarah PKU, Dr. Khairul Salleh Abdul Basit, simulasi ini memberi peluang pihak PKU untuk menambah baik proses saringan dalam memastikan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“Program simulasi yang dijalankan di UMP Pekan dan Gambang berjalan lancar dan mendapat kerjasama daripada pelajar dan petugas. 

“Pihak PKU telah bersedia menerima kemasukan pelajar untuk kembali ke kampus.

“Dengan kerjasama daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), kami juga mengadakan taklimat dan sesi bual bicara bagi memberikan penerangan kepada pelajar dalam memastikan mereka membuat persediaan sebelum kembali ke kampus,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Perubatan PKU, Dr. Norhilda Abd Karim berkata, mengikut peraturan yang ditetapkan setiap pelajar yang disaring perlu hadir ke tempat saringan kesihatan mengikut waktu janji temu yang telah ditetapkan dan mereka perlu mengisi borang saringan kesihatan di e-Community.

“Pelajar akan disaring tahap kesihatannya dan mereka akan dipakaikan gelang dalam tempoh isolasi sebagai pengawasan dan pemantauan kesihatan terhadap pelajar tersebut.

“Sebanyak empat warna gelang yang kita sediakan iaitu berwarna putih, merah, merah jambu dan biru,” katanya.

Jelasnya lagi, gelang pengawasan berwarna putih akan dipakaikan kepada pelajar dari zon hijau yang berisiko rendah manakala gelang merah pula akan dipakaikan kepada pelajar yang berada dari zon merah dan tidak bergejala.

“Semua pelajar yang memakai gelang ini akan mematuhi tempoh kuarantin wajib sepuluh hari di residen pelajar yang telah ditetapkan.

“Namun begitu, mereka dibenarkan untuk membeli makanan dan keperluan harian di kiosk dan kafeteria yang berhampiran dengan residen pelajar dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Bagi gelang berwarna merah jambu pula akan dipakaikan kepada pelajar yang memerlukan pemeriksaan lanjut di PKU atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala warna biru pula akan dipakaikan kepada pelajar yang bergejala,” ujarnya. 

Bagi pemakai gelang merah jambu dan biru mereka akan diasingkan penginapan dan akan dikuarantin diri di kediaman mereka.

Setiap pelajar juga dikehendaki memantau kesihatan sendiri dengan menggunakan Sistem Pengawasan Simptom Covid-19 (CoSMos) yang dilaksanakan di UMP. 

Sekiranya bergejala pelajar perlu menghubungi PKU atau bilik gerakan COVID-19 UMP di talian 09-549 3333 atau 09-424 6999.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris