Skip to main content

Joanne 7 Kali Anugerah Dekan terima Anugerah Pelajaran Diraja

Kuantan, 10 November- Joanne Bong Shan Shan,24 yang menamatkan pengajian Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Kepujian Universiti Malaysia Pahang (UMP) dinobatkan penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen Ke-13 UMP membuktikan aktif dalam persatuan bukan halangan baginya cemerlang akademik dengan meraih PNGK 3.90 dan pernah menerima Anugerah Dekan sebanyak tujuh kali sepanjang pengajian.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak ini  bergiat aktif dan diamanahkan untuk memegang jawatan penting dalam pelbagai persatuan, program dan kelab. Joanne yang juga merupakan bekas bendahari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP bagi dua sesi iaitu 2015/2016 dan 2016/2017 merasakan peluangnya semakin terbuka luas kerana dapat menyertai dan menguruskan pelbagai jenis program. Beliau juga pernah merangkul Anugerah Srikandi 2015, Anugerah Tunas Harapan 2017, dan tiga program terbaik dalam Anugerah Tokoh Siswa 2016 (Kategori Pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar). 

Selain itu, beliau juga adalah Exco Pembangunan Mahasiswa PEKA3 2014/2015, Penasihat MPP Chinese New Year Cultural Night 2016, Bendahari Expoconvo 2016, Bendahari Minggu Induksi Siswa (MINDS) 2017, Timbalan Pengarah UMP Career Fair 2016 dan 2017, Pengarah Utilization & Management Perspective of Bauxite Residue, peserta maraton yang aktif dan finalis Anugerah Kokurikulum & Sanjungan Pelajar 2017.

Anak bongsu kepada pasangan Bong Shoot Fatt, 64, seorang pesara dan Yen Ye Guak, 60, suri rumah ini pernah menolak beberapa tawaran kerja daripada beberapa syarikat besar seperti KPMG International Cooperative kerana ingin pulang ke Kuching untuk menetap bersama keluarga.

“Melalui pengalaman ini, saya berpeluang bertemu dengan ramai orang yang berpengaruh, bermotivasi dan berpengalaman. Memang seronok dengan pengalaman kampus dan  belajar di UMP kerana apabila pelajar mempunyai masalah, pensyarah UMP juga sedia membantu dan mendengar masalah. Mereka bukan sahaja pensyarah, tetapi juga kawan kepada para pelajar,” katanya.

Sumber motivasi beliau adalah daripada sebuah buku bertajuk ‘The Secret’ oleh Rhonda Byrne. Buku itu menyatakan apa yang difikirkan seseorang dapat mengubah dunia secara langsung. Apa yang kita mahukan ia berlaku, pasti akan berlaku. Pada tahun akhir pengajian, beliau telah membentangkan Projek Sarjana Muda bertajuk ‘Quality Management Toward Enhancing Performance of Herbal Company: The Role of Organisational Citizenship Behaviour as Mediator’.

Beliau kini bertugas sebagai Penganalisis Digital di Orion Social Media Sdn. Bhd, Kuala Lumpur yang menganalisis pasaran digital dalam pelbagai platform digital seperti Facebook, Instagram dan Google. Antara yang dilakukan beliau adalah menyediakan cadangan tender, mencari pelanggan berpotensi, menguruskan identiti pelanggan dalam platform digital, pengurusan krisis, menganalisis dan melaporkan data.

Beliau berpendapat, apa yang dipelajari sewaktu di UMP sangat membantunya iaitu daripada menguruskan pihak berkepentingan sehingga perubahan pengurusan. Sebagai seorang graduan pengurusan projek, sewaktu mula bekerja, beliau langsung tidak tahu tentang pemasaran dan pengiklanan digital. Namun begitu, beliau sanggup belajar sehingga berjaya. Ini kerana kehidupan adalah lengkung pelajaran yang berterusan dan beliau perlu akui walaupun ada yang dilakukannya tidak betul, tetapi daripada situlah beliau belajar. Harapannya bukanlah wang ringgit, rumah, kereta dan kehidupan yang mewah. Beliau hanya mahukan kegembiraan dan berharap kehidupan atau perbuatannya akan memberi kesan dan inspirasi kepada orang lain.

Disediakan oleh Nur Hartini Mohd Hatta dari Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri