Skip to main content

Konsert Jimba Fest Tour Tutup Tirai Expokonvo UMP

Kuantan, 11 November – Pesta Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) iaitu Expoconvo yang memasuki edisi ke-13 mendapat sambutan mengalakkan pengunjung serta masyarakat setempat. Lebih 1000 orang hadir menyaksikan Konsert Jimba Fest Tour yang menampilkan artis seperti Datin Alyah, Awi Rafael dan ramai lagi hasil kerjasama pihak Digi dan Warner Music sebagai menutup tirai Expokonvo yang mendapat tajaan penganjuran oleh pihak UMP Advanced Education dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). 

Kesempatan yang terbuka sepanjang Expoconvo dan Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-13 membolehkan para pengunjung dalam kalangan keluarga graduan dan orang ramai berkunjung dan mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan. Bertemakan ‘Recalling Memories’, pesta konvokesyen kali ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik di samping turut mengajak alumni kembali ke kampus untuk turut bersama-sama memeriahkan pesta konvokesyen pada kali ini.

Pengarah Program Pesta Konvokesyen Ke-13, Siti Aisyah Dermawanshah berkata penganjuran kali ini turut melibatkan aktiviti bagi kanak-kanak seperti Kid Zone,  Pertandingan Hiasan Kek, Jom Makan Buah, UMP Got Talent serta Pertandingan Masakan yang mana sasaran utama daripada masyarakat setempat.

“Expoconvo telah bermula sebulan lebih awal dengan penganjuran Santai Seni Warisan, Zumbathon, Black Night Run, Explorace Race dan Ceramah Kesedaran LGBT turut mendapat sambutan yang meriah. Mereka juga dapat mengenali UMP dengan lebih dekat serta merasai pengalaman kampus. Ianya juga merupakan satu medium promosi yang amat berkesan dalam memasyarakatkan universiti dengan komuniti sekitar,” katanya. 

Tambah Aisyah lagi, bagi menarik minat pelajar sekolah untuk turut serta di samping memperkasakan inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matemik (STEM), turut diadakan showcase bagi pemenang Pahang Hackacton 2018  untuk tontonan orang awam.

Dalam pada itu turut berlangsung jualan amal pakaian, tudung, aksesori wanita dan lain-lain hasil sumbangan orang ramai untuk menanamkan semangat membantu insan lain. Sebanyak 63 buah gerai peniaga termasuk  Food Truck disediakan sebagai kemudahan untuk memeriahkan Pesta Konvokesyen. Orang ramai juga tidak melepaskan peluang  mendapatkan maklumat mengenai rumah PRIMA di samping agensi-agensi kerajaan di bawah seliaan Urban Tranformation Centre (UTC), Kuantan di tapak Expokonvo.  

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri