Skip to main content

Fakulti Komputeran anjur Profesor Turun Padang Pembangunan Animasi Penceritaan Interaktif (Aplikasi Scratch)

PEKAN, 9 Disember 2023 - Seramai 120 murid sekolah rendah dari empat buah sekolah sekitar Pekan telah menyertai Program Profesor Turun Padang (PTP): Pembangunan Animasi Penceritaan Interaktif (Aplikasi Scratch) anjuran Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Empat buah sekolah itu adalah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Serai, SK Tanjung Batu, SK Seri Terentang dan SK Pasir Panjang. 

Menurut Dekan FK, Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar Kamaludin program ini bertujuan untuk mewujudkan perkongsian kemahiran pensyarah dan pelajar UMPSA dalam bidang animasi kepada guru dan pelajar untuk peningkatan kompetensi berasaskan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Fakulti Komputeran anjur Profesor Turun Padang Pembangunan Animasi Penceritaan Interaktif

“Tahniah diucapkan kepada semua murid, Alhamdulillah dalam tempoh singkat antara lima hingga enam jam, peserta telah mula memahami teknik animasi dengan menggunakan aplikasi Scratch serta dibantu oleh 15 orang pensyarah dan pelajar. 

“Scratch adalah perisian pengaturcaraan visual yang dicipta untuk membantu pelajar membuat program yang membolehkan mereka membangunkan kreativiti masing-masing tanpa perlu menguasai bahasa pengaturcaraan yang kompleks. 

“Bagi mengekalkan kemahiran dalam aplikasi ini, setiap sekolah akan mengikuti pertandingan Pembangunan Animasi Penceritaan Interaktif (Best School & Best of the Best) yang dijangka akan diadakan pada Januari 2024,” ujarnya. 

Menurut beliau lagi, dalam pertandingan itu nanti, setiap kumpulan dikehendaki membina video animasi menggunakan aplikasi Scratch dalam tempoh tiga minit. 

“Setiap sekolah juga boleh menghantar maksimum tiga  penyertaan bagi pertandingan itu.

“Diharapkan semua peserta dapat meneruskan aktiviti ini di sekolah agar lebih mahir menggunakan aplikasi ini,” katanya.

Fakulti Komputeran anjur Profesor Turun Padang Pembangunan Animasi Penceritaan Interaktif

Hadir sama Timbalan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sektor Pembelajaran, Ahmad Salleh Mohamed, Guru Besar SK Pulai Serai, Nor Akilin  Mohd Lazim, Guru Besar SK Tanjung Batu, Tuan Ahmad Zaki Zainudin, Guru Besar SK Seri Terentang  Norhayati Haji Hassan dan Guru Besar SK Pasir Panjang, Manisah Wanthan. 

Menurut salah seorang peserta, Haziq ZakuanAhmad Khairudin dari SK Pulau Serai, beliau amat gembira dan seronok apabila berpeluang mempelajari aplikasi ini. 

“Pada peringkat awal, aplikasi ini agak sukar tetapi bila dah faham, ia lebih mudah dan menarik 

“Paling menyeronokkan apabila setiap kumpulan perlu menyediakan satu animasi berdurasi seminit mengisahkan Gajah dan landak. 

“Jadi, kami dapat menyediakan video animasi secara berkumpulan dengan idea masing-masing,” katanya. 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris