Skip to main content
Norazlin terima Anugerah Penghargaan Khas Tokoh Siswa

Norazlin terima Anugerah Penghargaan Khas Tokoh Siswa

Arau, 25 September- Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Tenaga & Alam Sekitar) yang menuntut di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Norazlin Hassan terpilih menerima Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang disampaikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dalam Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2017 yang telah berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMaP) baru-baru ini. Hadir sama menyaksikan penganugerahan ini adalah Naib Canselor UMP, Prof Dato Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Kejayaan Norazlin yang pernah meraih kecemerlangan dalam bidang penyelidikan termasuk memenangi ‘Double Gold Award’ dalam pertandingan Novel Research & Innovation Competition (NRIC) 2017 serta Special Award: Sustainable & Green Technology Award menjadikannya terpilih menjuarai kategori khas ini.

Bagi Norazlin yang berkongsi penyelidikannya dalam `Hybrid Energy For Highway Lighting System’  mengatakan teknologi yang dihasilkan ini dapa memanfaatkan pengguna lebuhraya. Projek ini merupakan salah satu inovasi yang diwujudkan bagi menghasilkan tenaga elektrik dari tenaga solar dan tenaga angin yang terhasil dari daya aerodinamik kenderaan. Tujuan penghasilannya dapat membangunkan sistem pencahayaan lampu di lebuhraya dengan  menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui.

“Teknologi ini membantu dalam menyelesaikan masalah pengguna yang menggunakan lebuhraya pada waktu malam dan dalam masa yang sama tidak mencemarkan alam sekitar. Sistem ini juga sesuai digunakan dengan iklim di Malaysia yang menerima pancaran matahari sepanjang tahun dan sesuai untuk lebuhraya di mana kenderaan bergerak pada kelajuan 70 km/jam seperti di Malaysia. Malahan teknologi ini juga boleh menangkap angin dari mana-mana arah dan pada masa yang sama  boleh dipasang pada lampu lebuhraya yang sedia ada,” ujarnya.

Mahasiswa yang bakal bergelar bergraduasi pada November ini berkata, kejayaan pada hari ini tidak bermakna tanpa sokongan dan doa daripada insan-insan tersayang. Beliau juga melahirkan rasa syukur di atas segala tunjuk ajar yang telah diberikan oleh para pensyarah serta rakan-rakan yang banyak membantunya mencapai kejayaan sehingga ke tahap ini.  

Dalam pada itu berharap agar sentiasa dikuatkan semangat untuk menempuh cabaran dan rintangan pada masa hadapan serta membanggakan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Buat mahasiswa yang masih menuntut ini juga mengharapkan lebih banyak penglibatan dalam bidang penyelidikan dan inovasi di samping dapat mengharumkan dan membanggakan nama UMP.

Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat.