Skip to main content

UMPSA dan Northern Illinois University (NIU) perkukuh jaringan kerjasama

KUALA LUMPUR, 12 Januari 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) akan terus memperkukuh jaringan kerjasama dengan Northern Illinois University (NIU), Amerika Syarikat dalam menawarkan Program Teknologi Kejuruteraan yang dapat menghasilkan lebih ramai graduan Jurutera Praktikal atau Teknologis di negara ini.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, pertemuan bersama pihak NIU telah memberi peluang kedua-dua pihak mengorak langkah proaktif meneroka peluang bersama berikutan pengalaman luas mereka menawarkan program berbentuk teknologi kejuruteraan di samping program kejuruteraan yang dilaksanakan oleh College of Engineering and Engineering Technology (CEET) yang diiktiraf badan pengiktirafan Amerika Syarikat. 

“Turut dibincangkan program ijazah dual, geran antarabangsa, pertukaran staf dan pelajar, Global Classroom dan Micro-credential,” katanya.

Hadir mewakili NIU ialah Presiden NIU, Profesor Lisa Freeman, Executive Director for Global Initiatives, Profesor Eric Jones, Profesor Bob Brinkmann, (College of Liberal Arts and Sciences Dean, NIU), dan Datuk Noripah Kamso (Patron Malaysian – NIU Alumni).

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Bendahari, Dato’ Zainuddin Othman, Pengarah PKSA, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab dan barisan dekan fakulti. 

UMPSA juga telah menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) dalam usaha mengukuhkan persefahaman dan menggalakkan pertukaran pendidikan antara kedua-dua negara. 

MACEE memainkan peranan penting dalam melaksana dan menyelaras pelbagai projek pendidikan tinggi terutamanya pertukaran pelajar antara kedua-dua negara di bawah program Fulbright Malaysia. 

Program kerjasama ini juga dapat memacu agenda pengantarabangsaan UMPSA yang selaras dengan aspirasi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi. 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit