Skip to main content

Roti Kukus dan Sangkaya inisiatif Dapur Sahur mahasiswa UMPSA

GAMBANG, 17 Mac 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengagihkan sebanyak 260 set roti kukus dan sangkaya kepada 260 orang pelajar terawal dalam program Dapur Sahur baru-baru ini. 

Program itu telah berlangsung di Pusat Aktiviti Pelajar, UMPSA Pekan dan Payung Putih bagi pelajar di kampus Gambang sebagai tanda menyambut kedatangan bulan Ramadan yang dipenuhi keberkatan dan kemuliaan.

Skuad Yayasan UMPSA turut aktif dan berperanan besar dalam menjayakan program ini dengan mengambil bahagian dalam pelbagai aspek termasuklah penyediaan bahan mentah, proses memasak sangkaya, mengukus roti dan mengedarkan sahur kepada mahasiswa UMPSA.

Menurut Pengurus Projek Dapur Sahur, Nur Syafira Anis Madzlan, dapat menyumbang dalam program ini memberi beliau rasa kepuasan yang luar biasa. 

Roti Kukus dan Sangkaya inisiatif Dapur Sahur mahasiswa UMPSA

“Saya berasa amat terharu dapat melihat senyuman di wajah rakan mahasiswa ketika menerima roti kukus dan sangkaya ini. 

“Semoga kebaikan ini dapat menyemarakkan lagi semangat berkongsi rezeki dalam komuniti kampus. 

"Saya amat bangga dapat bergabung dalam usaha ini bersama-sama dengan rakan-rakan sukarelawan,” ujarnya.

Manakala menurut salah seorang sukarelawan, Syed Ahmad Naufal Syed Amran, semoga usaha mereka dapat menebar kebahagiaan dan memberi inspirasi kepada lebih ramai lagi untuk turut terlibat dalam aktiviti kebajikan di masa akan datang.

Selain daripada membantu mahasiswa dengan agihan sahur percuma, program Dapur Sahur itu juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar akan kepentingan bersahur. 

Ia dianggap sebagai langkah utama dalam menyediakan tenaga yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti harian dengan bersemangat dan fokus.

Berkongsi rezeki dengan memberikan bantuan kepada yang memerlukan, mahasiswa dapat merasakan kehangatan dan nilai kebersamaan dalam komuniti mereka. 

Manakala menurut salah seorang pelajar yang menerima sumbangan tersebut, Muhammad Irfan Zakwan Azli, beliau bersyukur dengan kebaikan yang telah ditunjukkan oleh sukarelawan UMPSA melalui program Dapur Sahur ini.  

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menyediakan sahur ini. 

“Semoga Allah SWT membalas segala kebaikan yang telah dilakukan oleh para sukarelawan," katanya. 

Skuad Yayasan UMPSA berharap usaha mereka dapat menjadi contoh yang menginspirasi mahasiswa lain untuk terus membantu antara satu sama lain dalam berbagai cara yang bermanfaat. 

Semoga Ramadan yang dipenuhi keberkatan ini memberikan kebaikan yang melimpah kepada seluruh komuniti UMPSA. 

Disediakan Oleh: Nor Azlina Ahmad, Yayasan UMPSA

Reports by:
Admin UMP News