Skip to main content
Kee Keing Lee Anak Nelayan  Raih Hadiah Kecemerlangan BASF Petronas Chemicals

Kee Keing Lee Anak Nelayan  Raih Hadiah Kecemerlangan BASF Petronas Chemicals

Kuantan, 10 November – Graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia, Kee Keing Lee, 24, menerima Hadiah Kecemerlangan BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) kali ke-13 baru-baru ini.

Bagi anak kelahiran Teluk Intan Perak ini, kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha dan  berani untuk mengambil risiko dalam memajukan diri di samping mencari dan memperbaiki kelemahan diri. Selain itu, pengurusan diri dan masa harus dibentuk supaya perkara yang menjadi keutamaan tidak terjejas.

Pastinya ibu dan ayah menjadi penguat semangat apatah lagi melihat kerja keras ayahya, Kee Cheng Peng, 51, membanting tulang sebagai nelayan di Teluk Intan, Perak. Manakala ibunya sebagai suri rumah sepenuh masa menjadi pembakar semangat untuk beliau terus berusaha bagi berbakti kepada kedua orang tuanya.

“Banyak kenangan manis yang tidak dapat dilupakan semasa menuntut di UMP. Banyak juga pengalaman  ketika saya terlibat dalam menjayakan program universiti seperti Pahang Engineer;s Run, Hari Karnival Kerjaya UMP bersama SL1M, Misi kemanusiaan di Kemboja dan menyempurnakan tanggungjawab sebagai Presiden Kelab, Majlis Perwakilan Pelajar dan Exco,” katanya.

Anak sulung dari empat adik beradik ini juga menerima Anugerah Dekan bagi setiap semester.  Sebagai anak sulung beliau harus berusaha lebih untuk meringankan beban keluarga. Ibu bapa adalah pendorong utama dalam kejayaannya sehingga kini. Sokongan tanpa henti membuatkan beliau lebih bersemangat berusaha untuk membina kerjaya  yang boleh membanggakan keluarga suatu hari nanti.

Disediakan Nor Hidayah Mohamad dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim