Skip to main content
Hasnah_Binti_Hussin.

JOM SAMBUNG BELAJAR DI UMP

Menuntut ilmu adalah wajib bagi seluruh umat manusia. Ini kerana tanpa ilmu manusia tidak akan tahu bagaimana untuk mengemudi hidup di dunia ini. Sejarah juga telah membuktikan bahawa antara ciri-ciri masyarakat yang bertamadun adalah masyarakat yang berilmu dan dengan ilmu yang adalah setiap masyarakat itu dapat membangunkan tamadunnya sehingga dikenali di seluruh dunia melalui ciptaan teknologi yang mampu mengubah kehidupan manusia. Dalam hal ini, negara kita telah membangunkan sistem pendidikan sejak dari zaman penjajah, semasa penjajahan dan institusi pendidikan dibangunkan dengan lebih pesat lagi selepas penjajahan dengan wujudnya beberapa universiti awam terkemuka. Antaranya seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM) kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Institut Teknologi Mara yang sekarang ini dikenali sebagai Uitm. Setelah itu dibangunkan lagi beberapa buah universiti baru seperti Universiti Teknikal Melaka, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan banyak lagi.

 

Pertumbuhan beberapa universiti baru telah memantapkan lagi sistem pendidikan di negara ini bagi menampung jumlah pelajar yang semakin ramai dan juga bagi membantu memenuhi permintaan pihak industri agar diwujudkan lebih banyak universiti berteraskan sains dan teknologi serta kejuruteraan. Maka lahirlah UMP sebagai satu universiti yang berteraskan kejuruteraan dan teknologi bagi menyahut cabaran dunia kejuruteraan. Seperti mana universiti awam yang lain, di UMP juga menawarkan kursus peringat Diploma, Ijazah, Ijazah Sarjana dan juga Doktor Falsafah. Mode pengajian bagi Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah di sini adalah berdasarkan kepada penyelidikan sepenuh masa dan juga secara kursus sepenuh masa. Terpulang kepada individu untuk memilih mode kegemaran mereka yang mereka rasa selesa dan mudah untuk diikuti. Walaupun UMP masih muda, ia tidak menjadi halangan untuk sesiapa sahaja untuk menyambung pengajian di sini. Ini memandangkan UMP juga mempunyai tenaga pakar yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan juga kebangsaan. Selain itu, UMP juga telah banyak membuat penyelidikan serta telah memenangi banyak pingat emas di peringkat antarabangsa. Boleh dikatakan setiap tahun ada sahaja pingat yang dimenangi oleh UMP. Ini merupakan suatu kebanggaan kepada warga UMP kerana walaupun masih baru, UMP mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama universiti awam yang lain.

 

Persoalannya mengapa harus sambung belajar? Ada banyak sebab mengapa seseorang itu perlu menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sama ada peringkat Sarjana atau Doktor Falsafah. Antara sebabnya ialah untuk menaikkan diri kita ke satu tingkat yang lebih tinggi dalam bidang pendidikan. Dewasa kini mempunyai taraf pendidikan yang lebih tinggi merupakan satu keperluan kerana yang pertamanya kita mudah diterima dalam sesuatu sektor pekerjaan kerana tahap kepakaran yang kita miliki. Yang keduanya ia membolehkan kita memasarkan diri kita berdasarkan title yang kita ada iaitu kepakaran kita akan menjadi saham untuk kita mengambil peluang dalam masyarakat. Tidak kiralah sebagai konsultan, penasihat, pengerusi, atau sebagainya. Bila kita ada kepakaran maka secara tidak langsung, orang akan mencari kita, dan ini bukankah akan menguntungkan diri kita sendiri dan juga tidak semena-mena nama universiti juga akan dibawa bersama. Yang ketiga, apabila kita sambung pengajian maka akan banyaklah pengalaman yang kita kutip. Menyambung pengajian tidak bermakna kita merasa kita lebih dari orang lain, tetapi apa yang kita akan rasa adalah betapa banyaknya ilmu yang telah kita kutip sepanjang perjalanan kita mencari ilmu dan ini secara tidak langsung akan memupuk sifat sentiasa dahagakan ilmu dalam diri. Apa yang penting adalah perasaan sesungguhnya ilmu yang kita miliki ini adalah sangat sedikit kerana semakin kita belajar semakin banyak benda yang kita tidak ketahui.

 

Sememangnya kita tidak boleh selesa berada ditakuk lama atau selesa dengan ijazah sarjana muda yang kita miliki. Demi mempersiapkan diri untuk masa depan yang lebih mencabar, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan diri kita sentiasa relevan kepada majikan. Justeru itu, menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi adalah jalan terbaik agar kita tidak disisihkan kerana persaingan pada masa akan datang adalah sangat sengit dengan penghijrahan pekerja asing serta teknologi yang sering berubah maka dunia pekerjaan juga akan turut berubah. Jadi sebelum ia berubah, kita perlu terlebih dahulu mengubah diri kita ke arah yang lebih baik dan lebih tinggi dari kedudukan pada hari ini.

 

Sesungguhnya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi bukanlah sepayah dan semudah yang disangka. Tetapi jika kena dengan gayanya ia sangat mudah dan kita boleh menamatkan pengajian dalam masa yang singkat. Jadi sebelum anda menyambung pengajian, selidiklah beberapa perkara terlebih dahulu iaitu siapa supervisor atau penyelia anda, apa yang anda ingin lakukan dalam pengajian nanti, bagaimana harus anda siapkan pengajian anda dan adakah alat bantu (perkara yang diperlukan untuk menyiapkan kajian) mudah didapati nanti? Jika anda membuat senarai seperti ini insyaAllah anda mampu tamat lebih awal atau menepati masa tempoh pengajian anda. Dalam hal ini, UMP bukan sahaja menyediakan kos berkaitan kejuruteraan dan teknologi sahaja, malahan UMP juga membuka peluang untuk menyambung pengajian dalam bidang kemanusiaan seperti Pengajian Islam, Sejarah, Halal, Politik dan lain-lain subjek kemanusiaan. Jadi, tidak hairanlah UMP menjadi nadi  kepada ilmuan di sebelah Pantai Timur. Ini bukanlah mimpi kerana UMP telah berjaya melahirkan graduan pasca siswazah yang tersendiri dan lihatlah apa kata mereka tentang UMP.

 

Bagi Dr Umi Kalsom Binti Masrom (Phd dalam bidang Applied Linguistik)  menyatakan secara peribadinya semasa beliau ingin memilih universiti manakah untuk menyambung pelajaran, sememangnya beliau mencari universiti yang berprestij. Apabila membuat sedikit kajian, beliau mendapati UMP membuka peluang yang sangat luas dan UMP sesungguhnya telah memberikan ilmu dan meningkatkan tahap keyakinan dalam diri beliau. Daripada pensyarah yang berwibawa sehinggalah kepada tenaga kerja UMP semuanya memberikan insipirasi kepada beliau. Segala pengalaman, ilmu pengetahuan yang didapati di UMP telah menukar diri beliau menjadi seorang yang matang, intelektual dan bertanggungjawab. Memetik kata-kata beliau “ Saya mendapati program Phd di UMP merupakan satu pengalaman yang sangat berharga dan saya sentiasa menggalakkan orang lain untuk menyambung pengajian di sini kerana UMP juga menawarkan kursus Sains Sosial walaupun teras UMP adalah bidang kejuruteraan. UMP memberikan pengalaman pembelajaran yang sangat berharga bagi saya.

 

Bagi Dr Shahidah Binti Hamzah: PENSYARAH, UNIVERSITI TUN HUSSIEN ONN MALAYSIA IJAZAH DOKTOR FALSAFAH (TEKNOLOGI KEMANUSIAAN) “UMP merupakan medan percambahan ilmu. Terima kasih Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan kerana menukarkan impian saya kepada realiti. Terlalu banyak sumbangan UMP dan pensyarah kepada saya sehingga saya berjaya hingga ke tahap ini. Segala tunjuk ajar yang diberikan oleh pensyarah sangat bermanfaat dan kini saya dapat menyebarkan ilmu yang dipelajari untuk melahirkan modal insan yang berkualiti. UMP juga telah memberikan kesan kepada SIAPA SAYA PADA HARI INI”.

 

Bagi Shamsurahman Adel, secara peribadi berpendapat Universiti Malaysia Pahang adalah tempat terbaik untuk menyambung pengajian berasaskan penyelidikan dalam bahasa-bahasa moden dan Sains Kemanusiaan. Ia berasaskan beberapa sebab yang pertamanya, ia mempunyai penyelia yang berkelayakan dan profesional. Sebagai contoh semasa pengajian beliau di UMP, seluruh kakitangan khususnya penyelia telah memberikan bimbingan yang tidak ternilai, galakan dan sokongan yang berterusan untuk melengkapkan ijazah beliau. UMPIANS (UMP Kakitangan) sentiasa menarik perhatian beliau dengan tingkah laku yang luar biasa dan profesional mereka. Perkara seterusnya yang beliau suka adalah perpustakaannya. Perpustakaan dalam talian mempunyai sejumlah besar kertas penyelidikan up-to-date dalam bidang berkaitan. Beliau dengan mudah dapat mencari sumber-sumber untuk dirujuk. Dalam kes jika beliau tidak dapat mengakses bahan, beliau akan bertanya pustakawan dan mereka sangat membantu.Selain itu, beliau juga telah diberikan satu ruang di dalam sebuah makmal di mana beliau boleh bekerja menyiapkan kajian. Makmal ini telah dilengkapi dengan internet yang boleh diakses 24 jam sehari. Tambah beliau lagi, terdapat terlalu banyak perkara yang baik yang membuat UMP (Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan) sebagai tempat terbaik untuk pengajian siswazah. Harapan untuk mendapat peluang untuk PHD saya di sana nanti !!!

 

Bagi Profesor Madya Dr Muhamad Ghani Bin Awang, kejayaan beliau menyiapkan Phd adalah bergantung kepada kerjasama semua pihak bermula dari hubungan dengan Pencipta, kakitangan dan diri sendiri. Tambah beliau lagi, usia emas dan masalah kesihatan yang dihadapi beliau bukanlah penghalang untuk menyiapkan Phd beliau dengan jayanya. Bagi beliau kunci utama adalah keikhlasan iaitu sentiasa memaafkan orang lain, bersifat positif serta berbuat baik kepada semua insan adalah kunci utama kejayaan beliau. Apa tidaknya beliau merupakan graduan sulung Phd UMP dan dapat menyiapkan Phd beliau dalam masa yang sangat minima. Inilah kejayaan yang bukan calang-calang semua orang boleh melakukannya, tetapi di UMP beliau membuktikan bahawa UMP boleh!

 

Sesungguhnya, Ilmu perlu dicari dan ia tidak akan datang bergolek kepada kita. Dalam hal ini kita perlu bijak memilih tempat untuk kita menuntut ilmu. Persekitaran yang menggalakkan pembelajaran, tenaga pakar, frasarana terbaik adalah perkara asas yang perlu diteliti sebelum kita memilih tempat untuk menuntut ilmu. Untuk itu, UMP sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada sesiapa sahaja yang mencari-cari destinasi bagi menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

 

Artikel ini disediakan oleh

Dr Hasnah Hussiin

Pensyarah Kanan

Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan

Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Reports by:
Nur Laila binti Afandi