Skip to main content
idris-ali

Menangani Risiko Kegagalan Dalam Industri Pembinaan: Di mana Patut Bermula.

Isu dan Kepentingan Industri Pembinaan 
Kita pernah dengar isu membabitkan kontraktor kekurangan modal dan tiada pengalaman. Isu kontraktor didapati kurang cekap mengawal kerja-kerja yang dilakukan sub kontraktor.  Ataupun masalah kontraktor menggunakan bahan yang substandard.  Inilah sebahagian daripada isu dan kenyataan yang terpapar dalam dada akhbar, apabila terdapat mana-mana projek yang gagal disiapkan pada tempoh ditetapkan. Dilaporkan tahun 2015, 4.4 peratus daripada Pengeluaran Dalaman Kasar (GDP) Malaysia, disumbang oleh industri pembinaan.  Antara produk pembinaan adalah projek-projek kerajaan dan swasta termasuklah kategori kediaman, bukan kediaman, kemudahan sosial dan infrastruktur.  Industri pembinaan juga melibatkan ramai aktor, antaranya pemaju, perunding, kontraktor, sub kontraktor, dan pembekal. Oleh itu, kerajaan telah mengujudkan pelbagai inisiatif baru untuk industri pembinaan terus relevan, antaranya Program Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA), Projek Rumah Bina Negara (PRBN), dan Program Rumah Mampu Milik.

Kitaran Projek Pembinaan
Pada asasnya, mana-mana projek pembinaan mempunyai peringkat kitaran seperti peringkat-peringkat perancangan, rekabentuk, pembinaan, dan operasi.  Bagi projek kerajaan, setiap peringkat telah ditetapkan polisi dan prosedur yang perlu dituruti dan dipatuhi.  Pada masa sekarang, untuk mengurangkan risiko kegagalan, projek pembinaan yang mempunyai nilai yang besar, memerlukan pengurusan risiko (i.e., kenalpasti faktor risiko, penilaian keatas faktor risiko, tindakbalas keatas faktor risiko dan pemantauan risiko) pada setiap peringkat kitaran projek.   Di peringkat perancangan dan rekabentuk tidak sering dikaitkan dengan isu, kecuali sesekali berita projek yang sudah siap, dikaitkan dengan gajah putih.  Peringkat pembinaan pula sering menjadi isu, bila mana peringkat operasi tertangguh.  Bila peringkat operasi tertangguh, banyaklah masalah-masalah berkait yang lain akan timbul. Antaranya, penduduk sukar mendapat perkhidmatan kesihatan yang baik, bila pembinaan hospital tidak dapat disempurnakan dalam tempoh yang ditetapkan.  Pelajar mengharungi bahaya setiap hari, bila projek sekolah, jalan atau jambatan tidak disiapkan.  Kampung dilanda banjir berulang, bila pembinaan tembatan ltidak seperti dirancang. Pembeli terpaksa menanggung rugi, bila projek perumahan lewat mendapat  Sijil Layak Menduduki. 

Untuk mengelakkan peringkat operasi tertangguh, setiap peringkat pembinaan bagi mana-mana projek perlu dilaksanakan dengan ketetapan berkaitan tempoh masa yang ditetapkan, kos yang diperuntukkan dan kualiti yang dikehendaki.  Kebiasaannya peringkat pembinaan mana-mana projek bermula dengan penawaran tender dan pemilihan kontraktor.  Segala panduan perlaksanaan urusan penawaran tender dan pemilihan kontraktor terdapat dalam dokumen Garis Panduan Penilaian Tender, Kementerian Kewangan Malaysia.  Setiap dokumen tender telah dilengkapkan dengan dokumen-dokumen berkaitan polisi, prosedur, spesikasi kerja dan lain-lain dokumen berkaitan projek pembinaan, untuk rujukan kontraktor yang membida.  Disyaratkan setiap kontraktor yang membida mesti telah diluluskan pendaftaran dengan kelayakan berkaitan oleh pihak berwajib, sebelum layak untuk membida mana-mana projek, terutama projek yang ditawarkan oleh kerajaan.  Kontraktor pembida yang terpilih mestilah pula mereka yang telah melepasi syarat penilaian antaranya mempunyai modal minimum, prestasi kerja semasa, kakitangan teknikal, memiliki loji peralatan asas, tawaran harga dalam had anggaran jabatan dan kesanggupan menyempurkan kerja untuk tempoh masa yang ditetapkan.  

Dimana silapnya?
Berdasarkan dokumen tender dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh kontraktor pembida untuk memenangi tender, kegagalan dalam projek pembinaan tidak sepatutnya banyak berlaku.  Ianya disokong pula oleh prosedur pengurusan kontrak yang termaktub dalam dokumen Pentadbiran Kontrak Dalam Perolehan Kerajaan dan Buku Panduan Pentadbiran Kontrak Kerja Raya, masing-masing diterbitkan oleh Perbendaharaan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya.  Bagi mengawal selia pematuhan standard kemahiran kerja dan bahan pembinaan dan menggalakkan jaminan kualiti dalam industri pembinaan, pelbagai dokumen standard telah diterbitkan oleh Construction Industry Development Board Malaysia (CIDB). Jadi, dimana silapnya, jika projek pembinaan sering tertangguh peringkat pembinaannya?  Ada kemungkinan perancangan tempoh masa yang ditetapkan tidak optimum, seperti tidak mengambil kira risiko bencana (banjir), risiko bilangan hari hujan bulanan, tempoh cuti perayaan, dan sebagainya. Atau terlupa nasihat berikut, kontraktor kena buang sikap nak untung cepat.

Bagi bakal tenaga kerja yang akan terlibat dalam industri pembinaan perlulah  mempunyai pengetahuan dengan merujuk polisi dan prosedur seperti mana yang termaktub dalam buku panduan, standard, arahan teknik, dan lain-lain lagi yang telah diterbitkan oleh pihak berkaitan.  Moga mereka dapat peroleh manfaat dengan maklumat yang ada, untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik.  

 

Disediakan Oleh: Dr Mohamad Idris Bin Ali, Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Pahang. Emel: idrisali@ump.edu.my
 

Reports by:
Nur Laila binti Afandi