Skip to main content
Gotong Royong

Pupuk Semangat Kesukarelawanan Mahasiswa UMP

Oleh: Mohd Zaki Ahmad dan Mohd Raizalhilmy Mohd Rais daripada Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PPTI)

FAROKZAKI

 

Kesukarelawanan bukanlah satu perkara yang asing dan baharu dalam masyarakat kerana ia telah menjadi sebahagian daripada kebiasaan kehidupan masyarakat sejak zaman-berzaman. Sukarela, membawa makna bekerja di atas kemahuan sendiri, tanpa dipaksa. Pada hari ini, ianya dapat dilihat ketika melaksanakan sesuatu kerja yang dilakukan secara bergotong-royong dan bekerjasama oleh ahli dalam sesebuah komuniti.

Malahan, menjadi sesuatu yang rutin kepada masyarakat kini apabila sesuatu kerja itu dilaksanakan secara beramai-ramai dan sukarela dalam setiap kehidupan manusia didorong oleh nilai-nilai budaya, ideologi, prinsip serta tradisi dan memberi impak yang cukup besar dalam kehidupan bermasyarakat. Umpamanya antara aktiviti yang menjadi tumpuan dalam aktiviti sukarela ialah seperti aktiviti sukan, aktiviti kemasyarakat, kebajikan dan badan beruniform yang secara langsung dapat meningkatkan keupayaan sesebuah komuniti yang memberi nilai kepada pembangunan insan khususnya golongan belia.

Menyedari akan kepentingan aspek kesukarelawan ini, Universiti Malaysia Pahang (UMP) sentiasa menggalakkan warganya terutama para pelajar agar terlibat dalam bidang kesukarelawanan. Hal ini memberikan kesedaran akan kepentingan untuk berkhidmat secara sukarela kerana ianya mampu melahirkan seseorang mahasiswa yang bertanggungjawab terhadap isu-isu sosial yang wujud dalam kalangan masyarakat kerana mereka perlu melibatkan diri secara langsung bagi membantu menyelesaikan masalah ketidakseimbangan yang wujud dalam sesebuah masyarakat berkenaan. Apabila seseorang mahasiswa terlibat dengan aktiviti sukarela, pelajar tersebut dengan sendirinya akan membentuk rasa simpati dan sifat tolong-menolong sesama manusia.

Seiring dengan aspirasi YB Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, budaya kesukarelawan dalam kalangan generasi muda perlu diperhebatkan kerana ia mampu meningkatkan semangat cintakan negara, saling hormat menghormati dan toleransi antara kaum di negara ini.  Kementerian Pendidikan mewujudkan tiga elemen budaya untuk diserapkan dalam sistem pendidikan di negara ini iaitu kegembiraan, kasih sayang dan saling hormat menghormati. Justeru, pihak pengurusan universiti sentiasa menyokong untuk meningkatkan aktiviti kesukarelawan dan khidmat bakti sejajar dengan teras kesukarelawanan dan khidmat komuniti dalam kalangan mahasiswa melalui kokukurilum berkredit. Mahasiswa harus didedahkan dengan ilmu pengetahuan selain akademik seperti kemahiran kendiri yang menguji ketahanan mental dan emosi mereka. Penglibatan mahasiswa dengan aktiviti sukarelawan bukan sahaja mampu meningkatkan tahap pencapaian mereka dari aspek kurikulum dan ko-kurikulum, malahan dapat menyemai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk membantu komuniti sekeliling yang berada dalam keadaan yang memerlukan.

Di negara barat seperti di Amerika Syarikat, kesukarelawan menjadi intipati kepada intergrasi sosial yang dapat digunakan untuk meningkatkan keupayaan komuniti yang bermasalah. Untuk itu pihak UMP sentiasa menitikberatkan elemen kesukarelawan ini yang diasaskan dalam budaya melayu dari turun temurun melalui kegiatan gotong- royong dan harus dijadikan sebagai wadah kepada pembangunan komuniti amnya. Mengambil beberapa pendekatan di UMP, setiap program yang dilaksanakan menekankan aspek kesukarelawan melalui penglibatan oleh mahasiswa dan staf. 

Mengambil contoh UMP, mahasiswa amat digalakkan melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan dengan sokongan dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni serta jabatan-jabatan lain yang bersangkutan. Banyak aktiviti kesukarelawanan dapat diterapkan kepada mahasiswa, antaranya misi kemanusiaan di Acheh, Kemboja dan Thailand. Mahasiswa juga dilibat sama dalam aktiviti-aktiviti kemanusiaan dalam negara seperti misi bantuan banjir dan lain-lain lagi. Aktiviti Kesukarelawanan tidak hanya tertumpu dan berhenti pada skop kemanusaiaan sahaja. Mahasiswa juga boleh terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan bersifat acara seperti menjadi ahli jawatankuasa penganjuran Sukan, Kebudayaan dan aktiviti-aktiviti lain yang memerlukan khidmat tenaga fizikal dan buah fikiran. Oleh yang demikian, adalah disyorkan kepada JHEPA sebagai penyelaras utama kepada aktiviti pelajar, agar dapat mempertimbangkan dan menyediakan satu kelebihan lain dalam aktiviti pelajar, seperti memberi jam kredit atau kaedah-kaedah lain yang berkesan bagi menarik ramai lagi pelajar terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan.

“Keterlibatan institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat dapat dilihat melalui sumbangan mereka dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Inisiatif seperti Service Learning Malaysia - University For Society memberi peluang kepada penuntut untuk menyumbang kepada masyarakat dengan mengaplikasikan teori yang dipelajari di dalam kelas untuk menyelesaikan permasalahan sebenar dalam komuniti (from classroom to community). Melalui iniasitif itu, pengetahuan, inovasi dan teknologi yang dibangunkan oleh penuntut, ahli akademik dan penyelidik di IPT boleh dipindahkan kepada masyarakat.

Pada masa sama ia perlu dikomersialkan agar dapat memberikan manfaat secara langsung kepada komuniti dalam usaha menyokong pembangunan sosioekonomi negara. Era Revolusi Industri 4.0 mendedahkan bidang akademik kepada keadaan yang lebih mencabar. Kehadiran apa yang digelar sebagai disruptive technology (teknologi pengganggu) memerlukan ahli akademik yang mempunyai wawasan, bersedia berubah bersesuaian dengan cabaran-cabaran baharu serta mempunyai kebijaksanaan untuk kekal relevan. Melihat kepada kepantasan perubahan-perubahan yang dibawa oleh Revolusi Industri 4.0, ahli-ahli akademik juga perlu cepat menangani perubahan serta mampu melakukan pendekatan-pendekatan yang memastikan pelajar kita tidak ketinggalan.” - Petikan ucapan YAB Perdana Menteri semasa Majlis Anugerah Akademik Negara ke-13.

Peningkatan keterlibatan mahasiswa dengan aktiviti kesukarelawanan dilihat sebagai petanda yang baik ke arah pembentukan pemikiran yang positif, dan dapt membangunkan personaliti yang mantap dalam kalangan mahasiswa. Mahasiswa perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu-ilmu personaliti unggul  seperti kemahiran berkomunikasi dan penyampaian berkesan, keupayaan menyesuaikan diri dalam pelbagai peringkat, mempunyai kekuatan jati diri dan rangkaian profesional serta kepimpinan.

Dalam usaha mencapai matlamat jangka panjang ini, pelbagai usaha dan inisiatif boleh dilakukan. Jelas terbukti dalam merangka program-program kesukarelawanan pastinya sifat kasih sayang dan prihatin terhadap persekitaran, komuniti, organisasi dan individu dan disuburkan lagi.  Selaras dengan hasrat kerajaan Malaysia untuk membentuk sebuah masyarakat penyayang menjelang tahun 2020, kesukarelawanan merupakan elemen yang penting sebagai wadah kepada pembudayaan dan penghayatan semangat kesukarelawanan.

Pembudayaan dan semangat kesukarelawanan ini perlu dilaksanakan seawal mungkin kepada golongan belia atau remaja kerana pada fasa umur tersebut akan berlaku perkembangan mental dan emosi yang drastik. Golongan remaja pada hari ini perlu dipupuk budaya berfikir sebelum bertindak dan mampu berfikir dengan lebih luas sebelum membuat keputusan. Sebagai pengakhiran, golongan pendidik perlu mengambil kesempatan untuk menyuntik semangat kesukarelawanan dikalangan belia. Ilmu kesukarelawan perlu dibangunkan secara hoslitik agar para mahasiswa didedahkan dengan sifat dan falsafah kesukarelawanan secara berterusan.