Skip to main content

7 subjek UMPSA disenarai terbaik dunia dalam QS WUR by Subject 2024

PEKAN, 10 April 2024 - Tujuh subjek yang ditawarkan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tersenarai di kelompok terbaik dunia dalam penarafan QS World University Rankings by Subject 2024 yang diumumkan baru-baru ini.

Terdapat dua subjek kekal pencapaian seperti tahun lalu iaitu bagi subjek Engineering - Chemical berada pada kedudukan 201-250 dan subjek Material Science berada pada kedudukan 351-400 terbaik dunia.

Manakala tiga subjek meningkat iaitu subjek Engineering – Mechanical, Aeronautical & Manufacturing Engineering apabila berada di kedudukan 301-350 berbanding 351-400 pada tahun lalu.

Begitu juga dengan subjek Chemistry berada di tangga ke 451-500 berbanding 501-550 (2023) dan subjek Engineering – Electrical & Electronic pada kedudukan 351-400 berbanding 401-450 (2023).  

7 subjek UMPSA disenarai terbaik dunia dalam QS WUR by Subject 2024

Dalam pada itu juga, subjek Engineering & Technology berada pada kedudukan 451-500 pada tahun ini.

Buat pertama kalinya, subjek Computer Science & Information Systems  turut tersenarai pada tahun ini berada di kedudukan 651-700 terbaik dunia.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts Dr Yuserrie Zainuddin, sebagai sebuah universiti teknologi, pencapaian ini menyerlahkan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran di UMPSA yang sentiasa memberi fokus kepada pelbagai aspek teknikal dan teknologi. 

“Kedudukan subjek ini sering digunakan oleh pelajar untuk membuat pilihan dan menilai universiti yang tepat untuk menyambung pengajian di dalam bidang yang diingini.

“Pencapaian dan kedudukan ini meletakkan UMPSA pada tahap yang mapan dan kompetitif bukan sahaja sebagai Universiti MTUN yang terkehadapan, malah secara umumnya juga antara universiti awam (UA) yang dinamik serta berkembang pesat pada hari ini.

“Cabaran kini adalah bagaimana daya saing dan kemapanan tersebut berupaya dilestarikan sebagai satu tanda mutu yang teguh,” ujarnya. 

Justeru katanya, usaha yang lebih strategik dan terfokus akan terus dilaksana untuk meningkatkan subjek ke tahap yang lebih baik seiring dengan agenda Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 dalam memastikan UMPSA terus berada di atas landasan strategik yang mapan. 

7 subjek UMPSA disenarai terbaik dunia dalam QS WUR by Subject 2024

“UMPSA juga kini memperkukuhkan kerjasama ijazah dual ke lima negara selepas berjaya menjalinkan kerjasama bersama Jerman, Kazakhstan dan China. 

“Kini, usaha digerakkan bagi melaksanakan program baharu melibatkan kerjasama dengan institusi di negara Korea Selatan dan Jepun.

“Beberapa strategi jangka panjang juga telah dirancang, antaranya menggalakkan penyelidik UMPSA untuk mengembangkan bakat dan potensi dalam meningkatkan keilmuan serta keterserlahan bakat dan kepakaran untuk dimanfaatkan kepada masyarakat,” katanya. 

Penilaian QS WUR by Subject 2024 dibuat berdasarkan kriteria berkaitan Academic Reputation, Employer Reputation, Citation per Paper dan H-Index. 

Keputusan rasmi QS World University Rankings by Subject 2024 boleh dicapai melalui https://www.topuniversities.com/subject-rankings.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit