Skip to main content

Bertadarus secara dalam talian kebiasaan baharu dalam Ramadan PKP

Kuantan, 11 Mei – Jika dahulunya aktiviti tadarus al-Quran diadakan secara berkumpulan di masjid atau di pejabat, namun kebiasaan baharu kini telah dipraktikkan bagi staf dan pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP)  dalam aktiviti tadarus menerusi dalam talian (online) bagi mengimarahkan bulan Ramadan tahun ini.
Menurut Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), UMP yang juga merangkap Pengurus  Program, Mohamad Hasnur Abdul Hamid,  aktiviti tadarus ini merupakan salah satu aktiviti dalam Festival Ramadan yang dirancang setiap tahun bagi memberi pengisian rohani buat warga kampus menjelang bulan Ramadan selain menggalakkan pemahaman lebih mendalam mengenai isi kandungan al-Quran.
“Selain itu juga, ia merupakan platform bagi membantu staf dan pelajar dalam meningkatkan kecekapan dalam pembacaan al-Quran.
“Pada tahun ini, kaedahnya agak berbeza memandangkan suasana dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), justeru, sesi bacaan dijalankan secara dalam talian di rumah masing-masing.
“Pada tahun ini juga bagi kategori staf, seramai 26 orang staf telah menyertai aktiviti ini dan daripada jumlah tersebut kita telah membahagikan kepada lima kumpulan dengan setiap kumpulan pula akan diketuai oleh tenaga pengajar yang berkepakaran dalam bidang al-Quran untuk dijadikan rujukan peserta,” katanya.  
Tambah beliau lagi, ini berbeza dengan tahun sebelum ini yang memilih wakil setiap jabatan atau fakulti bagi mengetuai kumpulan tadarus. 
“Dalam tempoh 14 hari bertadarus ini, beliau amat berpuas hati dengan komitmen staf dalam menyertai setiap sesi bacaan dan kebanyakan peserta menggunakan aplikasi Zoom Cloud dan Google Meet.
“Pada kali ini juga, kaedah pelaksanaannya juga berbeza apabila setiap kumpulan peserta tidak lagi dibahagikan mengikut juzuk. 
“Malahan setiap kumpulan perlu menghabiskan 30 juzuk dalam tempoh 25 hari dan masa bacaan pula adalah fleksi mengikut persetujuan ahli kumpulan masing-masing,” katanya. 
“Kami juga berharap semua peserta dapat terus komited membaca al-Quran mahupun berakhirnya bulan Ramadan nanti.  Mereka  juga boleh melanjutkan penghayatan dengan memahami terjemahan dan ilmu tajwid.
Menurut Azlinda Ibrahim yang merupakan Pembantu Tadbir Kanan (Perkeranian/Operasi) di Jabatan Bendahari, penyertaan dalam aktiviti tadarus al-Quran ini memang dinanti-nantikan menjelang Ramadan setiap tahun. 
“Penyertaan saya setiap tahun bukanlah sekadar mengejar untuk khatam al-Quran, tetapi yang lebih penting ialah sentiasa menambahkan ilmu tajwid dan membaiki cara bacaan.
“Lebih menarik, pada tahun ini kumpulan kami dibimbing oleh ustazah yang banyak mengajar teknik bacaan yang betul dan turut bertadabbur al-Quran,” katanya. 
Tambah beliau, ahli kumpulannya lebih selesa menggunakan aplikasi Google Meet ketika bertadarus. 
“Terdapat juga cabaran dalam bertadarus secara dalam talian ini kerana kadang kala peserta berdepan masalah capaian internet. 
“Malah, rakan saya sanggup membeli rangkaian talian internet yang baharu demi melancarkan sesi tadarus tersebut,” katanya. 
Sepanjang Ramadan ini, PIMPIN menganjurkan pelbagai aktiviti menarik dalam Festival Ramadan antaranya Jom Tanya Pakar bersama Ustaz Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham,  Kuliah Dhuha, Khatam al-Quran, Nuzul Quran: COVID-19, Ibrah dalam al-Quran dan sebagainya.

Disediakan oleh Nor Salwana Haji Mohd Idris, Unit Perhubungan Awam, Pejabat Naib Canselor.  

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri