Skip to main content

International Youth Camp galakan semangat patriotik dalam jiwa belia

JOHOR BAHRU, 17 September 2023 – Seramai 190 orang belia yang terdiri daripada beberapa buah Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) dan belia lepasan asasi setaraf sehingga peringkat profesional hadir bagi memeriahkan International Youth Camp (IYC) yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru bermula 17 hingga 19 September baru-baru ini. 

International Youth Camp (IYC) mendapat penglibatan dari pelbagai IPT dalam dan luar negara antaranya Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Sunway University, Universiti Yarmouk, Universiti Al-Azhar dan 33 buah universiti yang lain. 

Majlis dirasmikan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat. 

Menurut Datuk Kamarul Zaman, kem-kem seumpama ini seharusnya wajar dilaksanakan bagi mengelakkan para belia terlibat dalam isu-isu jenayah dan dadah yang kian meningkat pada masa kini.

International Youth Camp galakan semangat patriotik dalam jiwa belia

“Kita memandang positif program seumpama ini kerana ia dapat membentuk sahsiah remaja-remaja serta warga mahasiswa agar dapat bersama-sama membawa kedamaian, keamanan, keharmonian dan kepelbagaian pada masa depan.

“Sebagai salah seorang pegawai polis, usaha ini dilihat salah satu cara dalam memupuk sifat saling hormat-menghormati dan kasih sayang dalam memastikan negara kita senantiasa dalam keadaan yang aman damai,” ujarnya. 

Turut hadir Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti (JPJKK), SAC Chuah Yong Huat, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitenden Yusof Haji Othman, dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Profesor Dr. Shamsul Sahibuddin.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah berkayak antara pulau sejauh 18 kilometer sambil membawa Jalur Gemilang dengan membentuk formasi 60 sempena 60 tahun pembentukan Malaysia dan 66 sempena 66 tahun kemerdekaan.

International Youth Camp galakan semangat patriotik dalam jiwa belia

Turut diadakan aktiviti membersihkan pantai bersama masyarakat setempat di samping memberikan bantuan kotak rezeki kepada yang memerlukan.

Program yang berlangsung selama empat hari itu melibatkan penyertaan daripada seramai 190 orang belia yang terdiri daripada mahasiswa IPT dalam negara dan luar negara.

Sementara itu, menurut  mahasiswa Doktor Falsafah Kejuruteraan Awam, UMPSA merangkap ahli jawatankuasa program UYC, Intan Najiha Akhmar Saharuddin, kem ini bukan sahaja mengumpulkan para pelajar dari Malaysia malah turut disertai oleh sukarelawan YOSH dan para belia dari pelbagai latar belakang kerjaya yang tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam kem tersebut. 

“Alhamdulillah, program ini bukan sahaja berjaya mengasah kemahiran hidup tetapi yang paling utama kemahiran sebagai seorang belia untuk yang mampu memberikan manfaat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya. 

Disediakan oleh: Nurhaslina Mohamad Radzi, Fakulti Industri Sains & Teknologi dan Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News