Skip to main content

Pelajar UMP bakal pulang ke kampung secara berjadual sempena cuti semester

PEKAN, 11 Julai 2021 – Masa yang ditunggu-tunggu kini menjelang tiba apabila pelajar berpeluang pulang ke kampung halaman selepas menamatkan peperiksaan akhir sesi akademik 2020/2021 baru-baru ini.

Pelajar mula bercuti mulai Julai ini sebelum melangkah ke semester baharu pada bulan Oktober depan. Pergerakan pulang ke kampung ini merujuk kepada pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang membenarkan pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk pulang ke rumah masing-masing bermula 12 Julai 2021.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, pergerakan fasa awal pelajar pada 12 Julai ini melibatkan pelajar UMP Pekan manakala pergerakan pelajar UMP Kampus Gambang yang masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) hanya dibenarkan selepas tamat tempoh PKPD kelak.

“KPT telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan pergerakan para pelajar di IPT secara berfasa bagi memastikan pergerakan mereka adalah terkawal.

“Kementerian telah menetapkan kaedah pergerakan sehala pelajar iaitu menggunakan pengangkutan bas yang diselaraskan oleh pihak universiti dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Surat kebenaran akan dikeluarkan pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan pelajar boleh mencetak sendiri melalui Sistem Pulang Ke Kampung mengikut jadual pergerakan yang akan ditetapkan nanti,” katanya dalam satu taklimat berkaitan pergerakan pulang pelajar anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang berlangsung secara dalam talian baru-baru ini.

Beliau berkata, sebagaimana yang ditetapkan pihak KPT bagi fasa permulaan, pergerakan pelajar hanya dibenarkan di kawasan yang tidak tertakluk kepada PKPD.

“Pergerakan pelajar menggunakan kenderaan sendiri turut dibenarkan. Ibu bapa atau penjaga tidak dibenarkan merentas negeri untuk membawa pelajar pulang.

“Pihak kami juga akan mengadakan perbincangan dengan wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi merancang penghantaran pulang pelajar ke Sabah, Sarawak dan Labuan memandangkan mereka perlu mengadakan ujian calitan RT-PCR yang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan kos kuarantin pula akan ditanggung oleh kerajaan negeri masing-masing.

“Pihak universiti juga akan menyediakan pengangkutan buat pelajar Borneo UMP yang akan menjalani ujian calitan di klinik berdekatan.

“Ini termasuklah penghantaran ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengikut tarikh penerbangan yang ditetapkan,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, perjalanan pelajar lain yang berhasrat menggunakan pengangkutan udara selain daripada destinasi ke Sabah dan Sarawak juga akan diuruskan.

“Pihak UMP melalui Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) akan menguruskan kenderaan mereka ke Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan dan KLIA.

“Dalam pada itu, pelajar luar kampus UMP turut dinasihatkan agar memberi maklumat yang tepat tentang status kesihatan mereka dan sekiranya diperlukan, mereka perlu menjalani ujian calitan sebelum pulang ke kampung.

“Ini adalah untuk memastikan tiada pelajar bergejala dan mereka berada dalam keadaan sihat sebelum pulang ke kampung,” katanya.

Jelas beliau lagi, UMP sentiasa cakna dan mengambil berat kebajikan dan keselamatan pelajar.

“Pelajar yang kekal berada di kampus dan memerlukan bantuan terutamanya makanan boleh menghubungi JHEP bagi mendapatkan bekalan makanan sumbangan Food Bank Malaysia dan Yayasan UMP,” ujarnya.

Sesi taklimat yang dikendalikan oleh Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2020/2021, Muhammad Hisyamuddin Abdul Aziz yang bertindak sebagai moderator itu memberi peluang buat pelajar mendapatkan maklum balas segera berkaitan pergerakan pulang ke kampung.

Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit