Skip to main content

UMP Sasar 4 Objektif Strategik Ke Arah Universiti Teknologi Terunggul Menjelang 2050

Kuantan, 15 Februari – Universiti Malaysia Pahang (UMP) meletakkan asas bagi mencapai kegemilangan bagi  Pelan Strategik UMP 2021-2025 dengan mensasarkan empat objektif iaitu pertamanya menghasilkan graduan holistik yang dipacu bersama komuniti melalui program pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi, kedua mengupayakan kebolehan teknologi komuniti, ketiga menjana teknologi termaju (baharu) melalui inisiatif penyelidikan dan keempat menuju kelestarian kewangan dan amalan terbaik.

Seiring dengan Wawasan UMP menjadi universiti teknologi terunggul menjelang 2050, Naib Canselor UMP, universiti ini perlu mempunyai ciri-ciri universiti “world class” dan yang paling utama adalah mempunyai sumber kewangan yang mampan juga pengurusan universiti berautonomi. Dengan itu, kita mampu menghimpun bakat bukan sahaja pelajar malahan pensyarah  sebagai pakar teknologi pertama di dunia. Sekaligus menjadikan UMP menjadi sebutan dan bandar Pekan akan menjadi ternama suatu hari nanti.

“Pada ketika itu, UMP mampu mengeluarkan graduan bereputasi tinggi, menjadi orang-orang yang merubah dan sumber rujukan teknologi peringkat global serta penyelesaian masalah dunia, inilah gambaran universiti terunggul,” ujar Naib Canselor UMP, Prof Ir D Wan Azhar Wan Yusoff yang memberikan bayangan universiti masa depan.

Selain itu, sistem pengurusan universiti juga dihormati, cekap, efektif dan meningkatkan maruah sebagai sebuah universiti terunggul. Justeru, kita perlu bijak mencari jalan bagi memantapkan kelestarian kewangan dengan bebas dengan sasaran RM5 billion untuk bergerak sendiri.

UMP meletakkan sasaran yang lebih jauh apabila dilihat bakal menjadi universiti teknologi terunggul menjelang tahun 2050 dengan sasaran 90 peratus pensyarahnya mempunyai latar belakang akademik ijazah kedoktoran (PhD). Ianya dapat digambarkan dengan graduan yang dihasilkan bereputasi tinggi, relevan dan memberi khidmat kepada komuniti global seluruh dunia. 

Pada masa ini, UMP mempunyai lebih 86 peratus dalam kalangan pensyarah yang memiliki (PhD) dan dalam usaha merealisasikan hasrat ini menjelang 2050 nanti, universiti perlu membangunkan bakat (pakar bidang) pensyarah untuk penghasilan teknologi baharu serta membangunkan sistem pengurusan yang mengoptimakan bakat yang efektif, cekap dan dihormati dalam meningkatkan nama universiti. Kepakaran inilah akan dirujuk dan program bagi melahirkan kepakaran ini akan dibina.

Berucap menyampaikan Amanat Tahunan Naib Canselor 2020 baru-baru ini, Prof Ir Dr. Wan Azhar berkata, berdasarkan rekod Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pencapaian UMP dalam kebolehpasaran graduan kini adalah tertinggi apabila mencapai 96 peratus graduan bekerja dalam tempoh 6 bulan selepas bergraduat. Sasaran ini perlu dikekalkan pada tahun 2025 dengan minimum pencapaian kepada tahap 90 peratus ke atas, namun universiti akan memperhalusi peratusan yang mendapat tawaran bekerja sebelum bergraduasi.

“Pelajar bukan sahaja dinilai terhadap pencapaian akademik sahaja malahan UMP mensasarkan peratusan pencapaian 80 peratus i-CGPA pelajar mempunyai kebolehan menyeluruh yang dibina daripada kemahiran lain…Ini termasuklah soft skills seperti komunikasi dan berbahasa (bilingual) serta bahasa ketiga. Selain itu, universiti turut mensasarkan pencapaian peratusan terhadap pengetahuan kesukarelawanan, kelestarian dan penjagaan alam (sustainability) dan lain-lain yang ditetapkan dalam X-CGPA,” katanya.

Tambah beliau, kita juga akan mengukur kebolehan pelajar melalui konsep major-minor. Misalnya pelajar kejuruteraan dibenarkan mengambil kursus di bidang lain seperti pengurusan perniagaan, penyelesaian masalah (problem solving), perakauanan, psychology, Qiraat Al-Quran dan lain-lain memandangkan UMP mempunyai pensyarah yang berkepakaran dalam bidang ini.

Katanya, bidang minor ini akan membolehkan pelajar teknikal bercerita tentang ekonomi, kewangan dan yang boleh melengkapi bagi memperkasa dengan menggunakan kepakaran pensyarah UMP ini berkongsi dan memperkembangkan bakat semua pelajar dalam menghasilkan graduan holistik dan celik dunia. Dalam pada itu, UMP bakal membuka peluang kepada masyarakat untuk mengikuti program kepada industri serta program melibatkan akademia dengan masyarakat. 

Bagi perkembangan peningkatan bilangan program kerjasama dengan universiti luar terutamanya Jerman dan China dalam program premier Dual Degree Award di setiap fakulti, beliau berkata selain kerjasama dengan pihak Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) Jerman, hasil kerjasama UMP dengan SIASUN Robot & Automation Co.Ltd. di Shenyang, China serta institusi pendidikan di China membolehkan pelajar mengikuti dua tahun pengajian di UMP, satu tahun belajar di institusi pendidikan di China dan satu tahun menjalani latihan industri di SIASUN yang akan memberi tanda aras bertaraf dunia. 

Menurut Prof. Ir Dr Wan Azhar, UMP diklusterkan dalam rangkaian universiti teknikal Malaysia (RUTM) bagi mengupayakan keupayaan teknikal negara melalui program TVET aras tinggi. Bagi mengupayakan kebolehan teknologi komuniti berteraskan kemampanan kerjasama universiti-komuniti, UMP hendaklah menjadi pakar dalam teknologi sedia ada. 

“Misalannya, kewujudan UMP memudahkan masyarakat memahami reka bentuk bangunan, sistem kawalan, rekabentuk sistem robotik, sistem telekomunikasi elektronik..Teknologi AI dan lain-lain. Dengan adanya program di bawah pusat kecemerlangan UMP ianya akan menggunakan teknologi yang lebih tinggi untuk memberikan satu value creation kepada masyarakat.

Dalam penyelidikan juga, UMP juga akan meningkatkan nisbah penyelidikan bagi meningkatkan keupayaan teknologi UMP melalui skim PDG (mengikut jabatan) dan bilangan  produk buatan UMP (Technology Made in UMP) –TM @UMP.

Dalam pada itu, universiti ini juga akan terus menjana teknologi termaju melalui inisiatif penyelidikan  yang berimpak tinggi dengan melihat bilangan harta intelek (intellectual property) yang dilesenkan serta bilangan penghasilan teknologi baharu yang dimanfaat juga digunakan oleh komuniti (First technology in the World). Menuju kelestarian kewangan dan amalan terbaik, UMP bakal meningkatkan peratusan peningkatan rizab (TDI) serta meningkatkan kecekapan operasi yang munasabah menggunakan kaedah terbaik dalam mengurus universiti.

Dengan slogan bertemakan “Universiti Teknologi Untuk Masyarakat”, UMP komited menyediakan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bagi teknologi aras tinggi yang dipacu bersama komuniti melalui ekosistem keusahawanan sosial (social enterprise).

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri