Skip to main content

UMP TRIZ hasilkan 150 Projek Inovasi

Kuantan,  16 Disember – Sebanyak 150 projek inovasi  berjaya dihasilkan dalam program UMP TRIZ Innovation Exposition 3.0 yang membabitkan seramai 866 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam pertandingan ciptaan inovasi yang berlangsung di  Kompleks Sukan, UMP Gambang baru-baru ini.

Program yang merupakan penganjuran kali ke-3 ini merupakan platform terhadap penilaian dalam meningkatkan aspek kemahiran insaniah (soft skills) bagi menangani setiap permasalahan berkaitan kejuruteraan dan teknologi yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Banyak teknik dan metodologi dalam penyelesaian masalah, dan salah satunya ialah dengan cara TRIZ. TRIZ adalah singkatan dalam bahasa Rusia yang merujuk kepada Teorija Resenija Isobretatelskih Zadac ataupun boleh diterjemahkan kepada Teori Penyelesaian Masalah Inventif. Teori TRIZ ini telah dibangunkan di antara tahun 1960 hingga 1980 oleh Saintis Rusia iaitu Genrich Altshutler.

Pengarah program, Imadduddin Abidin yang juga pensyarah Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK) berkata, pertandingan inovasi ini adalah kemuncak kepada sesi pengajaran dan pembelajaran Subjek UHS2021 soft Skill II, iaitu yang berasaskan inovasi menyelesaikan masalah secara inventif.

Katanya, TRIZ  adalah satu hukum yang tidak berat sebelah yang lahir dari evolusi sistem teknikal. Penemuan dan pengstrukturan kepada hukum teori  TRIZ ini ialah hasil daripada kajian dan analisis secara global beberapa puluh tahun.

“Inovasi teknologi TRIZ mempunyai banyak kebaikan antaranya meningkatkan pemasaran dalam menghasilkan produk yang kreatif, meningkatkan dengan cepat dalam pencarian penyelesaian yang inventif dan inovatif. TRIZ juga secara saintifiknya merupakan satu pendekatan yang diasaskan kepada ramalan revolusi sistem teknologi, produk dan proses,” katanya.

Selain itu, sistem konvensional dan moden terhadap kajian pasaran lebih berkesan dibantu dengan TRIZ dalam analisis keperluan pasaran untuk masa hadapan. Ianya adalah kaedah penyelesaian masalah secara inventif terkini yang menitikberatkan penyelesaian masalah secara sistematik, berstruktur dengan menekankan aspek lebih baik (better),murah (cheaper) dan lebih cepat (faster).

Dalam pertandingan ini setiap kumpulan kecil mahasiswa menggunakan kaedah Teori Penyelesaian Masalah Inventif TRIZ (TRIZ) dalam mendapatkan penyelesaian masalah berkaitan dengan isu keselamatan. Program ini juga dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui Sijil Profesional TRIZ level 1 for Practitioner.

Menurut Imadduddin, kesemua aspek kemahiran ini amat penting dan merupakan kunci utama dalam memperolehi pekerjaan. Ianya juga dapat mengasah kemahiran insaniah mahasiswa dalam berfikir secara kritikal dalam penyelesaian masalah yang dihadapi.

Projek-projek yang dipamerkan ini juga merupakan projek akhir mahasiswa yang dinilai pihak panel dalaman dan industri luar. Pertandingan menyaksikan Anugerah Khas Industri (ICON) dimenangi Projek Multifunctional Dustbin hasil ciptaan kumpulan yang terdiri daripada Kum Yong Fang, Allen Lee Wei Kiat, Sean Senn A/L Pow Chiok,Yong Yan Li dan Teong Chi Qi.

Bagi Anugerah Khas  Kreativiti My TRIZ pula telah dimenangi menerusi produk Plastic Waste Collector hasil ciptaan Muhammad Syamil Sulaiman, Radfan Abdul Malek Mohammed Abdo AlQadhi,Teng Kar Hooi, Nur Syahirah Mohd Razi,Tan Choo Chien, Muhammad Hanif Kamarudin, Muhammad Asyraf Hasan dan Lum Wai Bin.

Manakala Anugerah Khas Jabatan Jaringan industri & Masyarakat (JJIM) menerusi  projek Waterproof Umbrella Holder menerusi penyelidikan daripada Noor Iswandy  Ismail, Siti Masyithah Zainol, Nurul Ahzani Roslan, Nur Syafiqa Yusri, Amir Firdaus Basirun, Muhammad Nur Asyraf Zazali dan Noor Iswandy Ismail.

Disediakan Nor Salwana Mohammad Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat